Wanita Mengandung 7 Bulan Ditembak Diperut

 


Pasir Mas: "Dia hanya beritahu nak keluar mengurut kerana lenguh badan akibat mengandung dan meminta saya menjaga tiga anaknya. Tak sangka dia tidak pulang dan hanya sekujur tubuh yang tidak bernyawa ditemui," luah Zawiah Sulong, 68.

Zawiah adalah nenek kepada Emirah Mazlan, 26, yang ditemukan mati dengan kesan tembakan di perut dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di Kampung Repek, di sini, petang semalam.

Katanya, cucunya keluar rumah kira-kira 8 malam Jumaat lalu, namun kemudian tidak pulang sehingga keesokan harinya.

Menurutnya, dia sendiri cuba mencari dengan pergi ke rumah rakan-rakan rapat cucunya selain menelefon beberapa kali tetapi tidak dijawab.

"Saya cuba menghubungi ibunya yang tinggal di Kampung Bechah Kelubi, Bukit Panau, di sini, namun diberitahu anaknya tidak pulang ke sana. Khabar itu meresahkan saya sehinggalah ada saudara memberitahu kereta miliknya tersadai di tepi jalan.

"Saya segera ke lokasi kejadian dan terkejut melihat orang ramai dan polis, selepas itu barulah saya tahu kejadian sebenar. 

"Mengucap panjang saya melihat cucu kesayangan kaku di dalam kereta dalam keadaan sudah tidak bernyawa.

"Tiga anak arwah ada dengan saya berusia tiga sehingga 10 tahun dan mereka masih dalam keadaan terkejut, malah yang paling kecil asyik menangis 'mencari' ibunya kerana mereka sangat akrab," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zawiah berkata, mangsa adalah cucu yang dipelihara seawal usia 10 hari dan sangat rapat dengannya, selain tinggal serumah selepas mangsa bercerai dengan suaminya, Februari lalu.

"Dia cucu yang sangat baik dan peramah, tidak suka keluar malam kecuali jika ada urusan penting saja, jadi saya agak terkejut kejadian sebegini terjadi padanya. Dia juga tidak pernah bercerita jika ada bermusuh atau sebagainya.

"Saya reda dengan apa yang terjadi dan perlu kuat demi terus menjaga anak-anak mangsa yang masih lagi trauma dengan kejadian ini. Insya Allah, selagi nyawa dikandung badan saya akan menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagai mana saya membesarkan ibu mereka.

"Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kelubi sebagai memenuhi permintaan ibu kandungnya sebaik proses bedah siasat selesai," katanya.

Katanya, dia berharap agar pembunuh cucunya dapat segera ditangkap dan diberi hukuman setimpal selain menjadikan pengajaran buat orang lain supaya berfikir dulu sebelum bertindak agar tiada nyawa yang menjadi korban.

Admin

Next Post Previous Post