Bayi Terkeluar Dari Kandungan Selepas Ibu Terlibat Kemalangan

PASIR MAS: Tiga maut termasuk seorang ibu yang sarat mengandung sembilan bulan selepas motosikal ditunggang mereka bertembung dalam kejadian di Kampung Lumpur, di sini, jam 7 malam tadi.

Bagaimanapun, bayi lelaki di dalam kandungan wanita berkenaan dilaporkan meninggal selepas mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pasir Mas (HPM).

Mangsa, wanita berusia 24 tahun disahkan meninggal di lokasi kejadian manakala seorang lagi penunggang lelaki berumur 18 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Unit Kecemasan HPM sekitar jam 10 malam.

Mohd Khairi suami kepada mangsa, Nur Hasliza Yazaib, 25, yang maut dalam kemalangan membabitkan pertembungan dua motosikal di Kampung Lumpur, di sini, jam 7 malam tadi. Menurutnya, lebih menyayat hati apabila bayi lelaki mereka yang berusia sembilan bulan di dalam kandungan isteri selamat 'dilahirkan' di lokasi kejadian di depan matanya sendiri.

"Saya segera berlari mendapatkan isteri yang sudah tidak sedarkan diri, manakala sempat meriba bayi serta anak kedua kami berusia enam tahun yang membonceng motosikal bersama ibunya.

"Kami sebenarnya menunggang dua motosikal beriringan yang mana isteri yang sarat mengandung membonceng seorang anak daripada tiga cahaya mata kami, manakala dua lagi bersama dengan saya untuk ke kedai runcit berhampiran.

"Ketika kejadian motosikal yang ditunggang remaja lelaki berkenaan terbabas memasuki laluan kami dan hampir berlanggar dengan motosikal saya, namun saya sempat mengelak. Tidak sangka, dia kemudian bertembung dengan motosikal isteri yang berada di belakang saya pada ketika itu," katanya ketika ditemui di perkarangan unit forensik Hospital Pasir Mas, di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, dia sudah beberapa kali melarang isteri yang sarat mengandung untuk menunggang motosikal sendiri namun petang tadi Nur Hasliza bersungguh-sungguh meminta kebenaran daripadanya.

"Isteri saya dijangka melahirkan anak keempat kami pada 24 Februari ini, namun, saya reda dengan takdir Ilahi kerana dia akhirnya 'pergi' dengan cara sebegini namun Tuhan menyelamatkan cahaya mata kami dalam keadaan yang luar biasa.

"Saya pasti merindui kebaikan isteri dan mengakui berasa sangat sedih atas kehilangan ini namun perlu kuat demi anak-anak kami termasuk bayi lelaki yang baru dilahirkan ini.

"Malah, anak kedua yang membonceng bersama arwah isteri juga dalam rawatan kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya yang berasal dari Kampung Banggol Stol, di sini. Menurutnya, sebaik segala urusan bedah siasat selesai, isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Banggol Stol.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian itu namun siasatan terperinci masih dijalankan.

Sumber: Harian Metro

Admin

Next Post Previous Post