Palestine Menang, Gencatan senjata 'peluang' untuk keamanan - Biden


WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, melihat ada 'peluang sahih' untuk keamanan berikutan Israel dan Hamas mengumumkan gencatan senjata selepas pertempuran 11 hari.

"Saya percaya kita mempunyai peluang yang sahih untuk mencapai kemajuan dan saya komited untuk berusaha ke arah itu," katanya di Rumah Putih sambil merujuk kepada usaha Mesir menjayakan gencatan senjata itu.

Katanya, beliau sudah bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, semalam berhubung perkara itu.

"Usaha AS selama ini adalah untuk mengurangkan tempoh pertempuran dan jumlah mangsa akibat konflik ini.

"Kita mahu mengelakkan konflik berpanjangan yang disaksikan sebelum ini, Israel dan Palestin berhak hidup secara aman dan selamat dengan menikmati kebebasan, kemakmuran serta demokrasi," katanya.

Biden sebelum ini dikritik anggota parti Demokratik sendiri kerana kurang agresif menggesa Israel menyetujui gencatan senjata, dengan alasan pentadbirannnya memilih untuk melakukannya menerusi 'diplomasi senyap secara berterusan'.

Beliau turut mengumumkan bantuan kemanusiaan dan menegaskan ia akan disalurkan menerusi pihak berkuasa Palestin di Tebing Barat dan bukannya menerusi Hamas, sekali gus menghalang pertubuhan itu menambah aset ketenteraan.

Pada masa sama, Biden masih menyokong hak Israel mempertahankan diri dan memberi jaminan kepada Netanyahu untuk membekalkan keperluan sistem pertahanan anti peluru berpandu Iron Dome yang memintas sebahagian besar serangan Hamas, walaupun dibantah sesetengah anggota Kongres Demokrat.

Sumber diplomatik memberitahu AFP di Kaherah bahawa dua delegasi Mesir akan dihantar ke Tel Aviv dan wilayah Palestin bagi memantau dan memastikan gencatan senjata itu berkesinambungan.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, turut mengalu-alukan perkembangan itu dan menegaskan kini Israel dan Palestin bertanggungjawab mengadakan dialog secara serius bagi mengakhiri konflik.

Beliau juga meminta masyarakat antarabangsa bekerjasama dengan PBB bagi menyediakan bantuan untuk menyokong pembinaan semula, pemulihan dan pembangunan di wilayah yang terkesan itu.

Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab, pula menggesa semua pihak bekerjasama menjayakan gencatan senjata itu, sekali gus menghentikan kitaran keganasan yang sama sekali tidak boleh diterima itu. - Agensi

Post a Comment

0 Comments