Mesir buka sempadan, terima rakyat Palestin yang cedera

KAHERAH: Lebih 250 warga Gaza yang cedera dibawa ke Mesir, semalam untuk mendapatkan rawatan, kata sumber kesihatan di sempadan.

Sumber memberitahu, tiga konvoi yang membawa 263 rakyat Palestin itu melintasi pos sempadan Rafah ke wilayah Sinai Utara yang bergolak di Mesir.

Menurut unit Bulan Sabit Merah Mesir di Sinai Utara menerusi kenyataan di akaun Facebook, pasukan kecemasan perubatan dihantar untuk membantu memindahkan mangsa.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengarahkan pihak berkuasa untuk membuka hospital negara itu bagi merawat mangsa yang tercedera dari Semenanjung Gaza, lapor media tempatan.

Israel dilaporkan, menguatkuasakan sekatan menerusi jalan darat dan laut di Gaza sejak pejuang Hamas menguasai kawalan di wilayah yang miskin dan mempunyai populasi sekitar dua juta rakyat Palestin pada 2007.

Rafah adalah satu-satunya akses ke Gaza dari 'dunia luar', yang tidak dikawal oleh Israel.

Meskipun pihak berkuasa Mesir membuka akses sempadannya pada Februari lalu, namun ia dikawal ketat dan selalunya ditutup pada cuti umum seperti sambutan Aidilfitri.

Ketika berucap pada sesi maya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry, berkata 'konsesi perlu ditubuhkan untuk mencapai keamanan'.

Shuokry sekali lagi mengulangi gesaan Kaherah untuk menguatkuasakan gencatan senjata segera dan mendesak PBB untuk menunaikan tanggungjawabnya bagi membantu menyelesaikan krisis berkenaan.

Sementara itu, di Tebing Barat, Duta Besar Mesir di Ramallah, Tarek Tayel, bertemu dengan Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh dan mengulangi usaha gigih Kaherah untuk memberikan sokongan kemanusiaan ke Gaza, kata Kementerian Luar Mesir.

Semalam, Israel melancarkan serangan udara sehingga membunuh lebih 40 rakyat Palestin di Gaza. Ia menjadikan angka korban terburuk sepanjang hampir seminggu pertempuran berlangsung.

Serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas rentetan serangan roket pejuang Hamas ke atas Israel.

Post a Comment

0 Comments