Kerajaan Tawar Jaringan Prihatin, Subsidi RM180 Untuk Golongan B40 Selama Setahun. Ini Cara Tebus


Program Jaringan Prihatin dijangka memberi manfaat kepada 8.5 juta rakyat daripada kumpulan B40 untuk memiliki peranti telefon pintar atau menikmati bantuan pelan jalur lebar internet.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam menangani cabaran jurang digital, ia membabitkan kerjasama utuh antara sektor awam dan swasta dengan memberi fokus tiga strategi utama iaitu akses, kemampuan kewangan dan kemahiran. 

Menurutnya, pandemik Covid-19 mempercepatkan arus gelombang transformasi digital di Malaysia dan seluruh dunia. "Oleh itu bagi mendepani realiti mencabar ini, maka kerajaan pada hari ini melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion.

"Daripada jumlah keseluruhan RM3.5 bilion ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion terutama dalam bentuk data percuma," katanya ketika Majlis Pelancaran Maya Jaringan Prihatin di Putrajaya.

Turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz

Beliau berkata daripada aspek liputan, penembusan dan kelajuan rangkaian, masih banyak ruang yang boleh diperbaiki terutama di setengah kawasan luar bandar yang mempunyai kepadatan rendah.

"Oleh itu, Kerajaan sudah memperuntukkan penaiktarafan perkhidmatan jalur lebar seluruh negara melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang merangkumi rancangan gentian optik, serta meningkatkan liputan 4G berkualiti bernilai RM21 bilion menjelang 2022.

"Kita akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar bernilai RM15 bilion.

"Insya-Allah usaha sama ini akan membantu mengurangkan jurang liputan dan kelajuan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Muhyiddin berkata kekurangan kemahiran digital juga menjadi penghalang pada usaha peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat.

"Menurut tinjauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pada masa ini hanya 50 peratus rakyat yang mempunyai kemahiran digital standard, sementara hanya 25 peratus yang memiliki kemahiran digital lanjutan.

"Bagi menangani isu kemahiran ini khususnya bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pakai pendigitalan, kerajaan telah menyalurkan pelbagai insentif dalam Belanjawan 2021 seperti Geran Digitalisasi PKS berjumlah RM150 juta, Dana Transformasi Digitalisasi Industri berjumlah RM1 bilion dan Fasiliti Teknologi Tinggi berjumlah RM1 bilion antara lain.

"Keprihatinan kerajaan terhadap golongan B40 tidak terhenti setakat itu sahaja. Kerajaan melalui SKMM sudah membina 910 Pusat Internet Komuniti atau PIK di seluruh negara. PIK adalah balai raya digital untuk membimbing komuniti melengkapkan diri dengan kemahiran digital seperti perniagaan dalam talian atau e-dagang," katanya.

Beliau berkata bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat, terdapat keperluan untuk memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses dengan kos yang berpatutan serta kemahiran yang diperlukan untuk memanfaatkan internet menjelang 2030.

"Lebih penting lagi, pembangunan kapasiti atau capacity building di bawah pelbagai program sektor awam dan swasta perlu disesuaikan dengan keadaan individu dan dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang masyarakat.

"Maka, dalam usaha kita untuk menangani krisis pandemik serta sekaligus untuk meletakkan batu asas ekonomi Malaysia ke arah yang lebih inklusif; mahu tidak mahu, jurang digital antara rakyat wajib dirapatkan.

"Meskipun keterangkuman digital bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada ketidaksamaan, ia adalah komponen asas bagi membolehkan inklusiviti sosial dalam kalangan rakyat tercapai," katanya.

Tambah beliau sebagai nadi kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, keterangkuman digital akan terus menjadi tumpuan utama kerajaan bagi merealisasikan Malaysia yang lebih adil dan saksama.

Terdahulu Muhyiddin berkata berdasarkan Digital Playbook in the New Normal terbitan World Economic Forum (WEF) pada tahun 2020, majoriti masyarakat di seluruh dunia terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi bekerja dari rumah berikutan pandemik yang melanda.

"Sepanjang tempoh ini, penggunaan internet meningkat sebanyak 70 peratus dengan penggunaan alat kolaborasi secara maya melonjak kepada 600 peratus. Trend yang agak sama juga dapat dilihat di Malaysia.

"Transformasi digital ini membuka ruang interaksi maya dan keterangkuman sosial yang lebih luas. Namun dalam masa yang sama keadaan ini juga meningkatkan risiko ketidaksamaan bagi mereka yang tidak terhubung secara digital," katanya. 

Beliau berkata realitinya masih ada dalam kalangan masyarakat yang tersisih dan ketinggalan daripada arus digitalisasi di negara ini.

"Peningkatan penggunaan internet jelas menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk capaian atau akses internet menjadi satu keperluan asas seperti air dan elektrik bagi segenap lapisan masyarakat.

"Malaysia akan terus komited untuk memantapkan kesalinghubungan atau "connectivity" di negara ini, sejajar dengan matlamat minimum 75 peratus kesalinghubungan yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan kos jalur lebar ataupun "broadband" tidak melebihi 2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) per kapita bulanan menjelang tahun 2025," katanya.

Cara Tebus RM180 / RM300 Program Jaringan Prihatin

  1. Semak kelayakan anda melalui laman rasmi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) iaitu: https://bpr.hasil.gov.my/
  2. Daftar sebagai pelanggan di syarikat komunikasi yang mengambil bahagian (rujuk senarai di bawah)
  3. Tentukan sama ada ingin memilih pakej berikut:
  4. Pembelian peranti baharu
  5. Pembelian pelan data internet bulanan
  6. Selesai! Anda kini boleh menikmati data percuma dengan data tambahan yang ditawarkan!

Untuk menikmati manfaat yang dinyatakan di atas, sila daftar dengan syarikat telekomunikasi seperti di bawah:

Antara Syarikat Komunikasi Yang Mengambil Bahagian Dalam Program Jaringan Prihatin B40

Anda boleh mendaftar melalui syarikat telekomunikasi di bawah:

1. Celcom

2. Digi
3. Umobile
4. Unifi


Post a Comment

0 Comments