Mangsa Runtuhan Jejambat Sempat Dihubungi Suami


PETALING JAYA – Salah seorang mangsa yang cedera berikutan kejadian runtuhan jejambat dalam pembinaan di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari Pandan Indah menghala Ampang semalam sempat dihubungi suaminya sewaktu masih berada di bawah sisa runtuhan.

Suami mangsa, Kamaruzzaman Awang sempat menghubungi isterinya Zakiyyah Yakop, 51, yang kemudiannya memaklumkan tentang kesukaran untuk bergerak susulan ditimpa timbunan sisa binaan.

“Isteri memaklumkan bahawa dia tidak mengalami sebarang kecederaan namun mengalami kesukaran untuk bergerak dan tidak mampu menoleh ke kiri berikutan keadaan begitu sempit selepas ditimpa timbunan sisa binaan jejambat tersebut.

“Saya kemudian menenangkannya dan memaklumkan bahawa anggota bomba berada di sisi van pekerja yang dinaikinya dan meminta dia bersabar kerana bila-bila masa sahaja akan dikeluarkan dari runtuhan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi semalam.

Susulan kejadian itu Zakiyyah mengalami kecederaan pada betis sebelah kiri dan telah dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan.

Terdahulu, semalam melaporkan dua individu maut manakala tiga lagi pekerja sebuah kilang terselamat selepas van pekerja yang dinaiki mereka ditimpa runtuhan pembinaan jejambat di MRR2 sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja. 

Sumber : Kosmo

Post a Comment

0 Comments