Ibu Hamil Tak Puasa Sebab Risaukan Kandungan, Perlukah Fidyah? Ini Jawapan Ustazah Asma Harun

Lebih kurang beberapa hari lagi kita semua akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan.

Tentu kebanyakan kita sangat teruja untuk memulakan ibadah puasa.

Namun, ada juga antara kita yang rasa risau untuk berpuasa disebabkan kondisi kesihatan tertentu.

Antara yang diberi kelonggaran untuk meninggalkan puasa adalah ibu menyusu dan mengandung.

Tapi bilakah kita akan dikenakan fidyah puasa dan bagaimana cara kiraannya?

Berikut adalah penerangan lanjut oleh Ustazah Asma Harun untuk rujukan bersama.

TIDAK BERPUASA KERANA RISAUKAN KANDUNGAN, FIDYAH ATAU TIDAK?

“Assalamualaikum ustazah. Saya ada persoalan tentang puasa. Pada dua tahun lepas, saya telah meninggalkan puasa kerana hamil dan risau akan kandungan.

Namun saya belum menggantikan puasa tersebut sehingga ke hari ini. Apakah yang perlu saya lakukan. Adakah saya perlu membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan? Boleh ustazah beri pencerahan? Terima kasih.”

JAWAPAN :

Waalaikumussalam.

Terima kasih kerana bertanya soalan yang sungguh penting dan sering menjadi tanda tanya kepada wanita hamil. InsyaAllah, saya akan menjawab dengan sebaiknya.

PENGERTIAN / MAKSUD FIDYAH PUASA


Fidyah :

Dari segi bahasa bermaksud gantian.

Dari segi istilah, fidyah ialah denda ke atas orang Islam yang telah baligh kerana melakukan sesuatu perkara yang melanggar hukum puasa.

HUKUM FIDYAH


Hukum membayar fidyah adalah wajib.

Hal ini bersumberkan firman Allah SWT:
وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ
Maksudnya: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin” [Surah al-Baqarah: 184]

Begitu juga dengan hukum ganti puasa.

Ia adalah wajib berdasarkan firman Allah SWT:
وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”

[Surah al-Baqarah: 184]
SIAPA YANG DIKENAKAN FIDYAH?

Sebab-sebab dikenakan fidyah:
1. Orang yang uzur iaitu golongan tua yang lemah dan tidak mampu untuk berpuasa.
2. Orang sakit dan tiada harapan sembuh.
3. Wanita hamil yang risaukan kesihatan kadungannya.
4. Wanita menyusukan anak yang risau kesihatan anaknya.
5. Orang yang menunda-nunda untuk qada puasa sehingga datang Ramadan yang berikutnya.

Di dalam persoalan ini, ulama di dalam mazhab Syafie ada membahaskan tentang bayaran fidyah, sama ada perlu berganda mahupun tidak.

1. Pendapat Pertama : Pendapat muktamad di dalam mazhab Syafie. Fidyah adalah berganda mengikut tahun yang ditinggalkan.

2. Pendapat Kedua : Pendapat sebahagian mazhab Syafie. Fidyah adalah tidak berganda.

Bagi pendapat pertama yang menyatakan fidyah adalah berganda mengikut tahun yang ditinggalkan adalah berdasarkan rujukan di dalam Kitab Manhaj al-Tolibin yang dikarang oleh Imam al-Nawawi :
وَالْأَصَح تَكَرَّرَهُ بِتَكْرِرِ السِّنِينِ
Maksudnya : “Dan pendapat yang lebih sahih, bergandanya (cupak) dengan sebab bergandanya tahun.”

Manakala bagi pendapat kedua, sebahagian mazhab Syafie telah berpegang kepada fidyah tidak berganda mengikut tahun yang ditinggalkan.

Ini adalah berdasarkan Kitab Syarah Muhazzab yang ditulis oleh Imam al-Nawawi:
أَنَّهُ يَكْفِي مُدٌّ وَاحِدٌ لِجَمِيعِ السِّنِينَ
Maksudnya : “Sesungguhnya mencukupi satu mud sahaja bagi semua tahun.”
KADAR BAYARAN FIDYAH MENGIKUT NEGERI (2021)

Berikut merupakan senarai bayaran fidyah puasa mengikut negeri-negeri :
1. Wilayah Persekutuan : RM 4.00
2. Selangor : RM 1.80
3. Melaka : RM 1.80
4. Johor : RM 1.90
5. Pahang : RM 1.75
6. Terengganu : RM 1.75
7. Kelantan : RM 1.75
8. Kedah : RM 1.80
9. Penang : RM 1.75
10. Perak : RM 1.90
11. Perlis : RM 5.00
12. Negeri Sembilan : RM 1.75
13. Sarawak : RM 1.75
14. Sabah : RM 1.90

*Rujuk PPZ
CARA KIRAAN FIDYAH

1. Sekiranya bayaran fidyah tidak berganda
(Jumlah hari ditinggalkan) x (Kadar Fidyah mengikut negeri) = ___________

2. Sekiranya bayaran fidyah berganda
(Jumlah hari ditinggalkan) x (Kadar Fidyah mengikut negeri) x (Jumlah tahun ditinggalkan) = ___________

Berikut merupakan senarai negeri yang berpegang kepada pendapat fidyah perlu dibayar berganda mengikut tahun ditinggalkan :
Wilayah Persekutuan
Melaka
Johor
Pahang
Terengganu
Kelantan
Kedah
Penang
Perak
Negeri Sembilan
Sarawak
Sabah

Manakala bagi negeri yang tidak berpegang kepada pendapat tidak berganda adalah:
Selangor
Perlis

RUMUSAN:

1. Berbalik kepada situasi Puan yang meninggalkan puasa kerana hamil dan risaukan kandungannya, maka perlulah melunaskan qada dan fidyah.
2. Fidyah ini hanya perlu dilunaskan oleh wanita hamil yang bimbang akan kandungannya. Manakala wanita hamil yang hanya bimbang keadaan dirinya sahaja, hanya perlu qada puasa dan tidak dikenakan fidyah.
3. Mengikut jumhur ulama, waktu membayar fidyah boleh dibuat sebelum melakukan qada puasa, semasa atau selepasnya.

Wallahua’lam
Semoga bermanfaat buat semua.

*Sumber: Ustazah Asma Harun

Post a Comment

0 Comments