Bapa Kandung, Ibu Tiri Dihukum Mati, Bunuh Anak Sendiri

Berita menyayat hati 5 tahun lalu masih segar dalam ingatan sebahagian daripada kita. Pada tahun 2016 anak gadis berusia 22 tahun dilaporkan meninggal dunia. Pada awalnya bapa mangsa menyatakan kematian anaknya itu adalah berpunca daripada sakit biasa. 

Namun pihak Polis mendapati terdapat beberapa keraguan dalam kenyataan yang dibuat sehingga siasatan dibuat dan menemui terdapat unsur jenayah dalam kematian gadis malang tersebut. Terdapat kesan gigitan di badan selain lebam di mata sekali gus membongkar tindakan yang dilakukan ahli keluarganya sendiri.

Siasatan awal polis juga mendapati keadaan fizikal mangsa terlalu kurus iaitu dengan berat hanya 18 kilogram seperti tidak cukup makan. Susulan itu, empat beranak terbabit ditahan di rumah keluarga berkenaan pada 1.50 pagi, 1 Mei 2016.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pasangan suami isteri selepas didapati bersalah membunuh anak perempuan mereka yang berusia 22 tahun.

Hakim Datuk Zainal Azman Abd Aziz membuat keputusan itu terhadap Anuar Yusof, 55, dan isterinya, Murni Ahmad, 40 , yang juga ibu tiri mangsa selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, dua lagi anak pasangan berkenaan iaitu Siti Sarah Anuar, 26, dan Amir Sharif Anuar, 19, dilepas dan dibebaskan selepas didapati tidak bersalah bagi pertuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa secara bersama-sama membunuh, Siti Hajar di Jalan Air Putih, Taman Semarak, Binjai di Chukai pada 10.45 malam, 26 April 2016.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 35 akta sama

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail.

Post a comment

0 Comments