[VIDEO] 7 Kereta Terbakar Dipercayai Angkara Khianat

Tular di media sosial klip video berdurasi 1 minit 32 saat menunjukkan api yang sedang marak pada kenderaan berkenaan. Kebakaran membabitkan tujuh kenderaan di tempat letak kereta di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dekat Pantai Dalam di sini, tengah hari tadi dipercayai berpunca perbuatan khianat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata pasukan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menjalankan siasatan menemui satu botol berbau petrol dan kesan simbahan petrol pada sebuah kereta terbakar.

"Kesan simbahan petrol ditemui di hadapan sebuah kereta PERODUA Myvi berwarna hitam dan sebuah van berwarna merah yang disyaki menjadi punca letusan kebakaran. 

"Sebanyak lima spesimen di tempat kebakaran diambil dan akan dibawa ke makmal untuk analisa punca sebenar kebakaran," katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian tengah semalam, tujuh kenderaan termasuk sebuah van musnah dalam kebakaran di tempat letak kereta Blok D, PPR Pantai Ria, Jalan Pantai Dalam.

Kebakaran itu membabitkan sebuah van Mitsubishi Delica dan dua PERODUA Myvi, sebuah PERODUA Bezza, Toyota Vios dan PERODUA Kelisa.

Basri berkata, pihaknya menjalankan siasatan lanjut kejadian itu mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Post a comment

0 Comments