[VIDEO] 7 Pekerja J&T Mohon Maaf Isu Baling Barang

IPOH: Tujuh pekerja syarikat kurier J&T Express (J&T) Perak tampil memohon maaf kepada pelanggan berhubung rakaman video kejadian membaling barang di sebuah gudang, di sini yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Menerusi video berdurasi 57 saat yang dimuat naik di laman Facebook J&T Express Malaysia – Perak, seorang daripada pekerja memohon maaf atas perbuatan mereka yang menjejaskan nama syarikat dan barangan pelanggan.

Katanya, tiada tindakan mogok oleh pekerja seperti dakwaan tular sebaliknya mereka sedaya-upaya menghantar barangan pelanggan secepat mungkin. 

“Kebelakangan ini, tular satu video di media sosial tentang pekerja tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard) dan mencampak barang pelanggan. 

“Kami ingin memohon maaf dan menjelaskan bahawa tiada isu dalaman atau potongan gaji antara syarikat dan pekerja J&T Express Perak,” katanya. 

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat yang menunjukkan beberapa pekerja J&T dilihat melemparkan barangan sambil disambut teriakan oleh pekerja lain. 

Difahamkan, tindakan pekerja terbabit dikatakan berpunca disebabkan soal komisyen dan gaji.

Sementara itu, J&T Express Malaysia Perak dalam kenyataannya meminta maaf atas sikap pekerja mereka dalam urusan mengagihkan bungkusan.

“Pihak J&T Express akan menyediakan lebih banyak latihan kepada para pekerja kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. 

“Di samping itu, pihak J&T Express juga ingin menjelaskan tiada pekerja yang mogok mengenai komisen. Segala yang berlaku adalah salah faham semata-mata,” katanya.



Post a Comment

0 Comments