TERKINI: KPM Lancar Saluran TV Pendidikan Baru, DidikTV Bermula 17 Feb


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan saluran khas TV Pendidikan dikenali DidikTV KPM yang akan bersiaran dari 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari, mulai 17 Februari ini.

Majlis pelancaran saluran itu akan disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 pagi hari pertama siaran.

KPM dalam kenyataannya hari ini berkata, inisiatif mewujudkan saluran khusus itu adalah usaha berterusan kementerian dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua murid di seluruh negara.

"Sebelum ini, KPM menyediakan program TV Pendidikan selama 11 jam melalui TV Okey RTM, Tutor TV Astro dan DidikTV@ntv7.

"Kini, buat pertama kalinya, KPM memperkenalkan saluran khusus TV Pendidikan secara terestrial dengan pengisian dari 7 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari," katanya.

Menurut kenyataan itu, siaran DidikTV KPM boleh ditonton menerusi saluran 107 di MYTV, saluran 147 di Astro dan saluran ntv7 di TV UNIFI.

"Bagi set TV Digital Bersepadu (iDTV) yang menggunakan antena, carian saluran DidikTV KPM boleh dilakukan menerusi penalaan automatik.

"DidikTV KPM akan menyiarkan program yang diterbitkan khusus dengan berteraskan kurikulum dan kokurikulum KPM," katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, saluran berkenaan akan menyiarkan berita mengenai dunia pendidikan, program bercorak didik hibur (edutainment) serta kandungan yang dihasilkan oleh murid, selain program antarabangsa yang bersesuaian.

"DidikTV KPM juga satu platform untuk memperkasakan budaya ilmu, menerapkan nilai-nilai murni dan mewujudkan masyarakat berinformasi.

"KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.


Post a comment

0 Comments