Kerana Kemiskinan, Pelajar Cemerlang Tidak Dapat Lanjutkan Pelajaran Keluar Negara


TUMPAT - Hanya air mata dapat menggambarkan kesedihan seorang pelajar cemerlang di Kampung Banggol Petani, Wakaf Bharu di sini kerana terpaksa melupakan cita-cita melanjutkan pengajian di peringkat ijazah perakaunan di luar negara.

Keluarga Nurul Asma Alya Mohd Zainal, 22, tidak mampu membiayainya belajar di luar negara selepas menamatkan pengajian diploma dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.95 di Kolej Profesional Mara (KPM).

Katanya, dia yang ditawarkan tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) terpaksa melupakan hasrat kerana kesempitan hidup selain berdepan kekurangan makanan termasuk beras dan lauk.

“Ibu hilang pendapatan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19. Saya tidak dapat membayar yuran peperiksaan International English Language Testing System (IELTS) berjumlah RM800 untuk menyambung pengajian ke luar negara pada Oktober lalu.

“Saya terpaksa melupakan cita-cita ke luar negara,” katanya ketika katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Nurul Asma Alya dan ibunya sebelum itu dikunjungi Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel The Grand Renai, Raja Rusmin Raja Mahmud di kediaman mereka.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat yang mencatatkan keputusan 7A 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu bagaimanapun masih mahu meneruskan pengajian di Malaysia.

“Saya juga memerlukan komputer riba dan akses internet tetapi semuanya sukar kerana kehidupan keluarga susah tapi saya masih berharap,” katanya lagi

Sementara itu, ibunya, Nuriha Mohd Nor, 55, turut sebak kerana tidak dapat menunaikan hasrat anak bongsu daripada empat beradik itu.

Ibu tunggal itu sudah bercerai 10 tahun lalu dan mempunyai empat orang anak dengan tiga daripadanya tidak mempunyai pendapatan tetap.

Post a comment

0 Comments