Syak Teman Lelaki Curang, Pelajar Nekad Terjun Dari Tingkat 18

Melaka: Gara-gara cemburu, seorang pelajar wanita sebuah universiti swasta di sini maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 18 sebuah pangsapuri di Bukit Beruang di sini, awal pagi kelmarin.

Tindakan `nekad' gadis berusia 21 tahun itu selepas dikatakan teman lelakinya menjalinkan hubungan percintaan dengan seorang wanita lain menyebabkan mangsa mengambil keputusan terjun dari kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, dalam kejadian 1.30 pagi itu, mayat pelajar terbabit ditemui beberapa rakannya di atas tanah di belakang blok kediaman asrama mereka.

Beliau berkata, mangsa dipercayai terjun dari tingkat 18 pangsapuri sebelum mati di tempat kejadian akibat parah.

"Berdasarkan keterangan rakan mangsa, pada kira-kira 10 malam kelmarin, mangsa bersama beberapa rakan berbincang mengenai hubungannya dengan teman lelaki, namun ketika perbincangan itu, berlaku satu pertengkaran apabila mangsa mengesyaki teman lelakinya mempunyai wanita lain sebelum dia berlari keluar dari rumah kira-kira 1 pagi.

"Susulan itu, rakannya keluar mencari pelajar itu di sekitar kawasan penginapan universiti dan pada kira-kira 1.30 pagi, mereka menjumpai mayat mangsa di atas tanah di belakang Blok D pangsapuri terbabit," katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, berikutan itu, siasatan polis dibuat di setiap tingkat Blok D yang kosong dan menemui sepasang selipar di atas lantai dan satu cermin mata putih di atas tembok berhampiran tangga di tingkat 18 blok berkenaan.

Justeru, beliau percaya mangsa membunuh diri dengan cara terjun dari tingkat terbabit.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.

Post a comment

0 Comments