Mengaku Adik Beradik, Pasangan Ini Kantoi Berkhalwat Malam Tahun Baru

Kulim: Helah lelaki mengaku wanita dalam bilik motel yang diserbu anggota Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) kononnya adik kandung gagal selepas pasangannya pula mengaku dia hanya adik angkat.

Berikutan itu, mereka dicekup kerana disyaki berkhalwat selepas gagal menunjukkan bukti mempunyai mahram atau suami isteri ketika serbuan sempena Tahun Baru, hari ini.

Dalam serbuan 1.15 pagi itu, pasangan berusia 18 dan 19 tahun itu dicekup di motel di daerah ini. Pegawai Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK), Azwan Azman berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu bekerja di kedai makan di Jitra manakala pasangannya adalah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.

Azwan berkata, PADK terpaksa menunggu hampir lima minit sebelum pintu bilik dibuka. Beliau berkata, ketika pintu bilik dibuka, lelaki itu tidak berbaju dan hanya berseluar jeans manakala perempuan terbabit ditemui dalam bilik air. 

"Pasangan itu cuba mengaburi pihak kami kononnya mereka adik-beradik kandung dan adik angkat namun helah itu tidak logik. Mereka gagal menunjukkan bukti hubungan mahram suami isteri menyebabkan mereka dicekup kerana disyaki berkhalwat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azwan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana kesalahan berkhalwat. Beliau berkata, sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua duanya sekali. 

"Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibebaskan dengan jaminan oleh keluarga masing-masing," katanya.

Post a comment

0 Comments