Bayi Dinamakan Siti Noor Banjiriah, Lahir Dalam Perahu

SEORANG bayi yang lahir ketika banjir melanda, dinamakan Siti Noor Banjiriah.

Portal berita Tribun News melaporkan, ibu kepada bayi itu, Ernawati melahirkannya ketika berada di atas bot sewaktu paras air naik dan menenggelamkan beberapa wilayah di Kalimantan Selatan, Indonesia.

Ernawati dibantu dua orang bidan pada saat kelahiran yang mencemaskan itu.

"Pagi 20 Januari, saya sudah merasakan sakit untuk bersalin. Ketika bersiap untuk ke hospital, air tiba-tiba naik mendadak.

"Baru sahaja naik bot, saya rasa bayi sudah mahu keluar," kata Ernawati yang mengimbas semula insiden ketika air bah melanda kampungnya, Desa Lokbaintan, di mukin Sungai Tabuk, Banjar.

Portal berita Kompas.com pula melaporkan, salah seorang bidan itu yang bernama Arfat, berkata dia dan rakannya bergegas ke rumah Ernawati lantaran mendapat tahu tentang seorang penduduk kampung yang sarat dan menunggu masa untuk melahirkan.

Ketika tiba, kesemua mereka terus naik ke dalam perahu untuk dipindahkan, dan waktu itu jugalah bayi Ernawati 'tidak sabar' untuk menjengah dunia.

"Kami melihat bukaan yang jelas, dan ibunya sedia melahirkan," ujar Arfat.

Siti Noor Banjiriah selamat dilahirkan dengan berat 3.3 kilogram dan panjang badan 50 sentimeter.

Kedua-dua ibu dan bayi itu dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Ketika kejadian, sudah seminggu kampung itu dilanda banjir teruk, dan tiada akses keluar masuk kecuali dengan menaiki perahu.

Post a Comment

0 Comments