Banjir di Johor Memburuk, Amaran Cuaca Peringkat Bahaya. Mengorbankan Satu Nyawa


JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor semakin memburuk dengan beberapa kawasan di empat daerah di negeri itu ditenggelami air sejak Jumaat.

Ia membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi dan Kulaijaya.

Memetik laporan Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), sehingga jam 4 petang semalam, seramai 1,143 mangsa daripada 308 keluarga telah dipindahkan.

Mereka ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri itu. Banjir dipercayai berpunca akibat hujan sederhana lebat tanpa henti sejak Jumaat. 

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad meminta semua mangsa yang terjejas akibat banjir untuk segera berpindah ke PPS. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut mengeluarkan amaran cuaca peringkat bahaya di tiga daerah di Johor iaitu Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran cuaca peringkat buruk juga dikeluarkan bagi daerah Segamat, Batu Pahat, Kluang, Mersing dan Pontian.

Menurut laporan The Star, satu kematian dilaporkan di Kampung Contoh, Kahang, Kluang. Pegawai Bomba dan Penyelamat Kluang, Shamsul Amri Mohd Shahab berkata, mangsa wanita berusia 59 tahun itu lemas selepas terjatuh didalam longkang sedalam 3 kaki Jalan Setia in Kampung Contoh. 

gambar hiasan

Dia menambah pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.39 tengah hari Sabtu dan mengerahkan satu trak pemadam kebakaran dengan sembilan anggota ke lokasi. "

Mayat mangsa, dikenali sebagai Halijah Majid, ditemui oleh orang awam di dalam longkang yang dipenuhi air. "Pasukan perubatan berusaha melakukan CPR untuk menyelamatkan mangsa tetapi dia dinyatakan mati di lokasi," katanya di sini pada Sabtu (2 Jan). 

Shamsul menambah bahawa mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi berakhir kira-kira jam 2.55 petang.


Sumber: Astro Awani, The Star

Post a Comment

0 Comments