[VIDEO] Tiada Sekatan Jalan Raya, Orang Ramai Boleh rentas Negeri Bermula Isnin

Menerusi sidang Media Menteri Kanan Pertahanan sebentar tadi memaklumkan bahawa terdapat negeri yang dilanjutkan PKPB, manakala ada juga yang dibatalkan selain ada sesetengah kawasan PKPD dikenakan. 


Dalam perkembangan lain, ramai tertarik akan berita Pergerakan merentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), bermula Isnin ini.


Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bermula Isnin ini juga, polis tidak lagi akan melaksanakan sekatan jalan raya, sebaliknya menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP).


"Seperti yang saya katakan, perlu ada keseimbangan antara keperluan ekonomi dan menjaga kesihatan. Seperti yang kita tahu 31 Disember ini, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan berakhir tetapi kita masih belum tahu sama ada akan disambung atau sebaliknya.


"Jadi beberapa kelonggaran dipersetujui. Antaranya bersetuju supaya rentas daerah dan negeri dibenarkan di seluruh negara, kecuali kawasan PKPD," katanya.


"Selepas ini, polis akan berada di mana-mana untuk memastikan pematuhan SOP," katanya pada sidang media berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.


Selain itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat khas juga bersetuju memberi kelonggaran berhubung had jumlah penumpang dalam kenderaan.

Katanya, jumlah penumpang di dalam kenderaan berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan yang dinaiki.


"Sidang khas juga bersetuju semua kenderaan dibenarkan membawa penumpang mengikut jumlah kapasiti tempat duduk kenderaan masing-masing.


"Bagaimanapun, saya amat berharap agar setiap dari kita menjaga keselamatan diri masing-masing dan mengambil langkah-langkah pencegahan kerana vaksin terbaik buat masa ini ialah diri kita sendiri," katanya

Post a comment

0 Comments