Jenazah Bakal Pengantin Lelaki Lemas Ditemukan

MARANG: Mayat Naim Hariri Kamaruddin, 31, yang dilaporkan hilang ditemukan pagi ini.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris mengesahkan penemuan mayat bakal pengantin itu di Pantai Alor Tuman selepas hampir 48 jam operasi mencari dan menyelamat digerakkan. Jenazah Naim Hariri dibawa naik pada jam 10.10 pagi tadi.

Naim Hariri dipercayai ditarik ombak ketika mandi di Pantai Kelulut di sini dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur dikatakan berkunjung ke pantai berkenaan untuk mandi-mandi selepas bersiar-siar bersama adik perempuannya.

Difahamkan mangsa bersama keluarganya baru tiba ke negeri itu dan menginap di resort berkenaan.

Pemuda itu dikatakan akan melangsungkan pernikahannya di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin di Bukit Payung di daerah ini pada pukul 10 pagi semalam dengan majlis resepsi sejam kemudian.

Terdahulu, bakal isteri mangsa yang turut berada di lokasi kejadian ditenangkan ahli keluarga susulan kejadian itu.


Post a Comment

0 Comments