Ketulan Daging Tumbuh di muka, tangan, telinga, dada. Anak Yatim Ini Derita Cacat Akibat Letupan Penyembur Racun Serangga.


Maran: Akibat disambar api letupan, kanak-kanak, Muhamad Iqram Hashim, 11, yang menetap di Felda Jengka 23 di sini, cacat anggota tubuh.

Insiden itu tidak hanya menyebabkan kesan melecur dan parut kekal, malah fizikalnya menjadi tidak normal seperti kanak-kanak sebaya.


Ketulan daging yang tumbuh di bahagian muka, tangan, telinga, dada dan pahanya semakin mengecut namun rasa gatal luar biasa akan dihadapinya ketika berada di kawasan panas.

Ibu mangsa, Suraya Abdul Manan, 39, berkata, anak sulung daripada dua beradik itu tidak dapat menyembunyikan rasa malu susulan keadaan fizikalnya itu.

"Saya hanya mampu meletakkan ubat krim terhadap tubuh Iqram sekiranya dia mengadu gatal.

"Malah, lengannya tidak dapat diluruskan selain berdepan masalah kerosakan gigi dan kulit. Pembedahan terhadap Iqram perlu dilakukan segera bagi mengelakkan anaknya berasa rendah diri apabila meningkat remaja kelak," katanya.

Namun sebagai ibu tunggal yang tidak bekerja, dia tidak mampu menyediakan kos pembedahan berjumlah RM20,000," katanya yang tinggal di rumah bapanya di sini.


Menceritakan kembali kejadian menimpa anaknya, Suraya berkata, insiden berlaku ketika dia sedang membakar sampah di belakang rumahnya di Felda Kumai, Bera, pada 26 November 2011.

"Tanpa diduga tin kosong penyembur racun serangga yang berada di dalam sampah itu meletup.

"Iqram ketika itu berusia dua tahun dan berada kira-kira satu meter dari tapak pembakaran. Akibatnya dia disambar api dan menjerit kesakitan," katanya.

Menurutnya, anaknya itu perlu ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh setiap dua bulan sekali untuk menjalani pemeriksaan serta rawatan lanjut.

"Suami saya, Hashim Mualaf, meninggal dunia pada April lalu akibat penyakit jantung," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu mangsa boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank bernombor 156141643641 atas nama Suraya Abdul Manan.

Post a comment

0 Comments