Hanya Kerana Tegur Main Telefon, Anak Tikam Bapa


Berang ditegur leka bermain telefon, seorang penganggur sanggup menikam bapanya dengan sebilah pisau di Simpang Pertang, dekat sini, jam 9.30 pagi tadi.

Mangsa dikenali sebagai Tan Yin Fah, 59, maut di tempat kejadian susulan tikaman di bahagian hadapan dan belakang badan.


Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin, berkata kejadian itu dipercayai bermula dengan tindakan Yin Fah menegur anak lelakinya yang berusia 35 tahun kerana kerap bermain telefon.

"Susulan teguran itu, berlaku pertengkaran mulut antara kedua beranak berkenaan.

"Mangsa yang tidak puas hati dengan tindakan anaknya, dipercayai memukul belakang suspek dengan kerusi plastik sebelum suspek bertindak menikam mangsa dengan pisau," katanya.

Maslan berkata, selepas menikam mangsa, suspek melarikan diri namun berjaya ditangkap 20 minit kemudian sebaik kejadian dimaklumkan kepada polis oleh jiran.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan dan motif kejadian. Kes disiasat mengikut seksyen 302 kanun keseksaan.

Sementara itu jiran mangsa berkata, suspek sebelum ini bekerja di luar Negeri Sembilan tetapi kembali menetap bersama bapanya sejak Mac tahun ini dan kedua beranak itu kerap bertengkar.

Post a comment

0 Comments