Cikgu Sedih Tiada Seorang Pun Calon SPM Hadir Kelas Online, Akhirnya Anak Sendiri Yang Masuk Nak Hiburkan Ayah

 

Penutupan sekolah susulan wabak Covid-19 yang melanda negara, memerlukan para guru dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam talian di rumah.

Namun, salah satu masalah yang dihadapi oleh para guru ialah apabila pelajar mengambil mudah dan tidak mengikuti kelas yang diadakan.

Dianggap umpama ‘cuti sekolah’, sebilangan pelajar tidak peduli akan tanggungjawab mereka sebagai pelajar seperti kisah yang dikongsikan di Twitter oleh individu yang dikenali sebagai Nuha.

Dia tampil menceritakan pengalaman bapanya yang menunggu pelajar untuk masuk ke dalam kelas online tetapi hampa apabila tiada seorang pelajar pun yang hadir dan memberikan kerjasama.

Lebih menyedihkan, mereka mematikan telefon ketika bapanya cuba menelefon pelajar itu seorang demi seorang untuk meminta mereka hadir ke kelas.

Cikgu tunggu tapi pelajar tak masuk kelas ‘online’ dan matikan telefon


Malah, menurut Nuha, ada pelajar yang memberikan alasan mereka berkerja, sedangkan pelajar tersebut akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari depan. Dia yang tidak sampai hati melihat bapanya diperlakukan sedemikian, kemudian bertindak mendaftar masuk ke kelas tersebut untuk menghiburkan hati bapanya yang sedih.

Nampak la abi gelak sikit..

Menurut Nuha, pada awal, bapanya begitu teruja meminta mereka mengajarnya membuat kelas secara online menggunakan aplikasi zoom dan google meet.

Sudah tentu bapanya merasa sebak, apabila pelajar tidak hadir dan menghargai jasa guru yang bersungguh-sungguh dalam menyampaikan ilmu.

Setelah posting tersebut tular, terdapat beberapa akaun daripada warganet yang mendaftar masuk ke kelas bapanya sebagai usaha memberikan semangat dan menggembirakan hati guru tersebut.

Bapanya yang dikenali sebagai Mustakim, turut berterima kasih kepada semua warganet di Twitter yang memberikan semangat kepada beliau.

Cikgu Mustakim turut meminta supaya semua warganet mendoakan pelajar-pelajar tersebut untuk hadir ke kelas dan berjaya di dalam SPM kelak.

Post a Comment

0 Comments