[VIDEO] TERKINI: Padang bola sepak, futsal dan gimnasium dibenar beroperasi semula!


Kuala Lumpur: Gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal dibenarkan beroperasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mengikut prosedur operasi standard (SOP) berkuat kuasa Isnin ini.

Bagaimanapun aktiviti itu hanya dibenarkan untuk latihan sahaja dan bukan perlawanan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mendengar permohonan dan rayuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai aktiviti sukan di gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal di kawasan PKPB.

"Memandangkan aktiviti di gimnasium dilaksanakan secara individu dengan penjarakan fizikal, sidang khas hari ini bersetuju membenarkan gimnasium beroperasi seperti biasa dengan SOP ketat yang ditetapkan sebelum ini.

"Bagai aktiviti di padang bola sepak komersial dan pusat futsal turut dibenarkan tetapi hanya bagi tujuan latihan sahaja dan terhad kepada 10 orang peserta pada satu-satu masa," katanya dalam sidang media harian hari ini.

Menurutnya, kebenaran itu berkuat kuasa bermula 19 Oktober dan SOP selanjutnya akan diumumkan oleh KBS dalam masa terdekat.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 467 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

"Daripada jumlah itu 460 individu dikenakan kompaun manakala enam direman dan seorang dijamin.

"Tidak memakai pelitup muka antara kesalahan tertinggi masih dicatatkan iaitu 182 individu, penjarakan fizikal (106), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (110) dan premis beroperasi lebih masa (5)," katanya.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, sejak 24 Julai hingga 16 Oktober lalu, seramai 49,923 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di 72 hotel dan 16 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA).

"Daripada jumlah itu, seramai 9,261 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 381 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 40,281 individu telah discaj dan dibenarkan pulang," katanya.

Post a comment

0 Comments