Suspek bunuh dan lumur bayi dengan garam diusung ke mahkamah



BACHOK: Seorang pekebun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan anaknya yang berusia lapan bulan sebelum dilumur garam dan ditinggalkan dalam keadaan menyayat hati di dalam guni di rumahnya di kampung sungai dua, Bachok semalam.

Perintah reman berkuatkuasa hari ini sehingga Selasa depan dikeluarkan terhadap lelaki berusia 40 tahun itu oleh Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor selepas mendengar permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Bachok, pagi tadi.

Perintah reman dikeluarkan mengikut seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, lelaki itu yang tiba di mahkamah dengan menaiki kereta polis enggan keluar dari kenderaan itu dengan alasan ingin berdoa.

Polis terpaksa mengusung suspek ke dalam mahkamah selepas berusaha 10 minit memujuknya masuk ke dalam mahkamah menemui jalan buntu.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat Shafein berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek ada kaitan dengan ajaran sesat.

Ia berdasarkan cara bayi lelaki berkenaan dibunuh dengan seluruh badan dilumur garam serta halusinasi yang dialami suspek.

Tambahnya, sehingga kini suspek tidak bercakap untuk diambil keterangan, sebaliknya hanya berzikir dan memaklumkan dia mendengar suara malaikat sebelum membunuh anaknya.

Media semalam melaporkan, mayat bayi berusia lapan bulan ditemui dalam keadaan menyayat hati di dalam guni yang ditinggalkan di dalam rak di dapur rumah keluarganya.

Lebih menyedihkan, kulit leher mangsa didapati mengelupas dipercayai dilumur dengan garam kasar selain kesan lebam pada seluruh anggota badan.

Selain bayi itu, ibunya yang berusia 32 tahun turut dikurung dalam sebuah bilik selain mengalami kesan lebam pada kedua-dua belah tangan.

Bapa bayi itu dipercayai mengalami masalah mental dan pernah ditemui bercakap perkara yang tidak masuk akal selain perihal hantu kepada jirannya sejak dua minggu lalu.

Post a comment

0 Comments