Padah Berbasikal Rentas Negeri, Artis Wanita Ditahan Polis

 


Seorang pelakon wanita bersama rakannya telah ditahan oleh pihak polis akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarakat (PKPB) dengan berbasikal merentas negeri.

Memetik laporan Harian Metro, pelakon wanita terbabit bersama rakannya berbasikal merentasi sempadan di Jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah, pada 18 Oktober lalu.


Difahamkan, pelakon terbabit adalah Bella Dally atau nama sebenarnya, Nabilah Ali Dally, berusia 29 tahun, ditahan selepas polis menerima maklumat berhubung kejadian itu apabila melihat hantaran dimuat naik di Instagramnya yang memaparkan dia bersama rakannya sedang berbasikal, lapor Kosmo.

Melalui siasatan awal oleh pihak polis, difahamkan kedua-dua mereka bergerak dari Dutamas dan menuju ke sebuah restoran berhampiran Hospital Orang Asli Gombak untuk meletak kereta sebelum berbasikal melalui jalan Gombak Lama ke arah Genting Sempah.

Berdasarkan gambar yang diambil secara swafoto, pihak polis mengesyaki pemilik akaun berkenaan merentas negeri tanpa kebenaran pihak polis.

“Kedua-dua wanita terbabit ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak 8 malam tadi sebelum dibebaskan dengan jamin polis,” kata Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) dan Peraturan 11 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (No 8) 2020.

Post a comment

0 Comments