Mohon BPN 2.0 Mulai 15 Oktober, LHDN Saran Rakyat 'Apply Online' Ketika PKPB, PKPD


CYBERJAYA: Pemohon baharu Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 terutama di kawasan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Diperketatkan (PKPD) digalakkan membuat permohonan secara dalam talian.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata, pihak menggalakkan permohonan dalam talian pada masa ini bagi memastikan rantaian penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan.

"Permohonan baharu boleh dibuat mulai Khamis ini sehingga 15 November dan penerima BPN sedia ada tidak perlu mengemukakan permohonan semula jika menerima bayaran sebelum ini," kata LHDN dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September lalu mengumumkan BPN 2.0 dengan jumlah bantuan yang akan disalurkan adalah RM1,000 kepada 3.7 juta isi rumah B40, RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang, RM600 kepada hampir 1.4 juta isi rumah M40 dan RM300 kepada 1.7 juta kumpulan M40 bujang.

Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran iaitu pada hujung bulan ini dan pada Januari depan.

LHDN berkata, pemohon baharu BPN 2.0 boleh merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BPN di https://bpn.hasil.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai bantuan berkenaan.

Katanya, pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dibuat dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 03-89111000 atau 603-89111100 (Luar Negara), HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my. - BERNAMA

Post a comment

0 Comments