"Maaf Tak Dapat Membesarkan" - Bayi Ditinggalkan Dalam Kotak Bersama Nota



TANJONG KARANG: Bayi lelaki diletakkan di dalam sebuah kotak ditemui di pintu pagar utama Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, di sini, hari ini.

Ketua guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Integrasi Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru, Mohd Maidin Abdul Rahim, 38, berkata, beliau menemui bayi itu, jam 7.15 pagi ketika dalam perjalanan menuju ke sekolah.


"Bayi terbabit ditemui di dalam sebuah kotak dan dilengkapi lampin pakai buang, bedak serta tisu basah. Turut ditemui, nota tulisan tangan yang memohon maaf kerana tidak mampu membesarkan bayi itu disebabkan faktor ekonomi selain berterima kasih kepada individu yang sanggup membesarkannya.

"Ketika kejadian, saya dalam perjalanan ke sekolah untuk meninjau kerja pembersihan. Tiba di lokasi, saya perasan ada kotak di pintu pagar utama surau dan menyangka ada orang buang anak kucing.

"Kebetulan, kotak itu ditutup dengan kain berwarna biru. Saya ambil keputusan untuk menyelak kain dan terkejut melihat bayi di dalamnya," katanya hari ini.

Mohd Maidin mendakwa, kemungkinan bayi itu ditinggalkan selepas solat Subuh, pagi tadi

"Kebetulan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) sedang berjalan, jadi hanya beberapa jemaah sahaja dibenarkan solat di surau itu.

"Jemaah yang saya temui memaklumkan mereka tidak perasan kotak di pintu surau dan mungkin diletakkan selepas mereka beredar dari surau," katanya.


Beliau berkata, kejadian pertama di kampung berkenaan dan terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab individu yang meninggalkan bayi itu begitu sahaja.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan bayi itu dan akan menyiasat lanjut berkaitannya.

Post a comment

0 Comments