COVID19: 177 Institusi Pendidikan Daerah Seremban Ditutup

Gambar hiasan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian berhubung peningkatan kes positif COVID-19 di daerah Seremban, Negeri Sembilan. Daerah ini telah disahkan sebagai zon merah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Selaras dengan perutusan khas YAB Perdana Menteri pada 6 Oktober 2020 berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan- kawasan yang disahkan zon merah oleh KKM, KPM memaklumkan bahawa semua institusi pendidikan di kawasan zon merah di daerah Seremban, Negeri Sembilan akan ditutup bermula 25 Oktober 2020 sehingga 9 November 2020. Ini melibatkan sebanyak 177 institusi pendidikan di seluruh daerah Seremban. Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, institusi pendidikan guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM. Senarai institusi pendidikan yang ditutup di daerah Seremban dilampirkan bersama-sama untuk rujukan ibu bapa, penjaga serta warga sekolah dan institusi terbabit. Untuk makluman juga, senarai ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM.

Sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup. Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang. Walau bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa serta murid atau pelajar yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden asrama. Keperluan makan dan minum murid serta pelajar sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan.

Bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka hendaklah mendapatkan surat dari sekolah masing- masing untuk menghadiri peperiksaan.

Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru-guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.


Dalam hal ini, KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM. Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah dan institusi akan dibuat dari semasa ke semasa.











Post a comment

0 Comments