Bunuh Anak 8 Bulan, Lumurkan Garam. Polis Dedahkan Perbuatan Suspek Dalam Tahanan


Sejak semalam hangat diperkatakan tentang seorang kanak-kanak berusia lapan bulan di Kelantan, Wan Mohamad Afiq Wan Roslan yang disyaki dibunuh bapanya sendiri.

Tambah mengejutkan, mayat bayi berkenaan juga ditemui dalam keadaan misteri dengan badannya dilumur dengan garam selepas dipercayai dibunuh dengan objek tumpul.

Susulan daripada kematian tersebut, bapanya yang berusia 40 tahun telah pun ditahan pihak polis bagi membantu siasatan.

Walaupun telah ditahan, namun bapa yang juga suspek utama itu menurut Berita Harian yang memetik Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat masih belum memberikan sebarang keterangan.

Sebaliknya dia hanya berzikir ketika berada dalam tahanan dan memaklumkan dia mendengar suara malaikat, sebelum membunuh anaknya.

Perkara itu di samping cara bayi lelaki berkenaan dibunuh dan badan dilumur garam serta halusinasi yang dialami suspek membuatkan pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek mempunyai kaitan dengan ajaran sesat.

Terdahulu, mangsa Wan Mohamad Afiq Wan Roslan maut disebabkan kecederaan di kepala disebabkan hentakan yang dipercayai dilakukan bapanya sendiri.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di rumah mereka di di Kampung Sungai Dua, Bachok yang disedari sekitar jam 11.30 pagi semalam. Hasil bedah siasat yang dimaklumkan awal pagi tadi mendapati punca kematian bayi berkenaan disebabkan kecederaan di kepala disebabkan hentakan.

Post a comment

0 Comments