Angkara Cemburu, Gadis Maut Dibunuh Kawan Lelaki


Gadis berusia 23 tahun ditemui mati di rumah sewanya dalam kejadian bunuh di Taman Mahsuri, Jitra tengah malam semalam. Mangsa dikenali sebagai Siti Nor Sufieza Md. Sharif didapati sudah tidak bernyawa ketika ditemui di ruang tamu rumah sewanya itu oleh rakan serumah yang baru pulang dari kerja.


Menurut laporan BH Online, ketika mayat mangsa ditemui hanya terdapat kesan lebam pada anggota badan, tiada kesan luka atau kecederaan yang lain. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Sapii Ahmad berkata, pihaknya telah menahan kenalan lelakinya berusia 22 tahun dari Pokok Sena untuk membantu siasatan.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati tiada barangan peribadinya yang hilang dan keadaan rumah juga tidak berselerak. Suspek akan dihadapkan ke mahkamah mendapatkan perintah tahanan reman. Kejadian difahamkan berpunca daripada kes cemburu.

"Berdasarkan siasatan, mangsa yang bekerja sebagai ejen insuran di Bandar Darulaman, didapati menyewa rumah teres satu tingkat itu bersama dua rakannya hampir tiga tahun lalu.

"Mangsa tinggal seorang diri di rumah ketika kejadian itu yang hanya disedari rakannya pada jam 9.45 malam tadi selepas mendapati mangsa terbaring di ruang tamu rumah berkenaan," katanya

Bedah siasat untuk mencari punca kematian masih dijalankan, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bapa Mangsa Terkejut Anak Dibunuh

"Kali terakhir saya bertemu dengan anak sulung itu pada Selasa lalu, ketika kami sekeluarga datang ke rumah sewanya di Taman Mahsuri, Jitra.

"Sebagai ayah, saya teringat nak jumpa sebab dia tinggal di rumah sewa, namun tak sangka itulah kali terakhir kami bertemunya sebelum kejadian malang itu berlaku," kata Md Sharif Md Daud, 45.

"Saya terima panggilan dari rakan serumah arwah jam 11 malam kelmarin memaklumkan Siti Nor Sufieza tidak sedarkan diri dan mulutnya berbuih.

"Saya terus bergegas ke Jitra sebelum dimaklumkan anak saya mati dibunuh. Sebagai bapa, saya memang sedih," katanya

Post a comment

0 Comments