Hidayah Puas Hati Keputusan Mahkamah



SHAH ALAM: Balu Allahyarham Abam Bocey, Nor Hidayah Mohd Ali berpuas hati dengan keputusan tuntutan faraid yang ditetapkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam di sini, hari ini.

Nor Hidayah, 28, memberitahu, pembahagian faraid itu merangkumi rumah, kereta, wang tunai dan barang peribadi peninggalan Allahyarham suaminya.

"Alhamdulillah, urusan faraid dapat diselesaikan. Saya sangat berpuas hati dengan keputusannya. Pihak sebelah sana juga akan mendapat bahagian mereka.


"Antara harta yang difaraidkan adalah rumah, kereta, wang tunai dan barangan peribadi arwah seperti jam tangan, kamera dan telefon.

"Walaupun pihak di sebelah sana tidak hadir, namun, ia tidak mengganggu proses mahkamah kerana semua bahagian (faraid) sudah ditetapkan," katanya kepada pemberita sebaik selesai prosiding tuntutan faraid dan hadanah (hak penjagaan anak) di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, di sini. Prosiding itu dikendalikan secara tertutup.

KELUARGA MERTUA TIDAK HADIR

Mengulas ketidakhadiran ibu mentua, Sabariah Arshad untuk hadir ke mahkamah berhubung kes tuntutan hak penjagaan anak, Nor Hidayah berkata, mahkamah menetapkan Oktober depan sebagai tarikh baharu.

"Saya harap pihak di sana dapat hadir ke mahkamah Oktober nanti," katanya.

Mengenai wang RM10,000 yang dikeluarkan daripada akaun arwah suami seperti didakwa bekas adik ipar, pelawak Ali Puteh, Nor Hidayah mengaku melakukannya. Namun, Nor Hidayah menafikan menggunakan wang itu untuk kegunaan peribadi.


"Saya ada mengambil wang RM10,000 tetapi saya masukkan ke dalam akaun anak saya. Saya tidak gunakan sesen pun," katanya.

Mengulas spekulasi konon kereta mewah peninggalan Abam ditarik, Nor Hidayah menafikannya.

"Kereta masih ada... Dakwaan yang mengatakan kereta itu ditarik tidak benar. Tetapi, saya tidak mahu komen lebih-lebih," katanya.

Sebelum ini, Nor Hidayah bersama dua peguam mengadakan sidang media tergempar di sini, bagi menjelaskan dakwaan dia membuat tuntutan saman terhadap bekas ibu mentuanya itu.

Peguam Mohamed Ibrahim Mohamad menjelaskan, pihaknya menafikan dakwaan itu dan menegaskan Sabariah yang memfailkan saman terhadap Nor Hidayah, Julai lalu.

Sebelum ini, menerusi siaran langsung di Facebook (FB) sebuah portal berita, Ali Puteh atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan menunjukkan surat saman yang dihantar peguam Nor Hidayah kepada ibunya.

Menjelaskan mengenai surat saman yang dinyatakan Ali Puteh, peguam syariah Fadhlina Siddiq menjelaskan, nama Sabariah turut tersenarai dalam tuntutan berkenaan sebagai pengesahan waris.

Post a comment

0 Comments