KKM Sahkan Seorang Tukang Gunting Rambut Positif COVID19, 40 kontak rapat dikesan



KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesahkan seorang tukang gunting rambut warga Pakistan yang berkerja di Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pejabat Kesihatan Titiwangsa menerima satu notifikasi Covid-19 daripada hospital swasta mengenai kes itu, semalam.




"Kes membabitkan lelaki warga Pakistan yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di sebuah kedai gunting rambut di Kuala Lumpur, hasil siasatan awal kedai gunting rambut itu tidak beroperasi sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama iaitu pada 18 Mac.

"Namun, beliau terus memberi khidmat menggunting rambut dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan di kawasan sekitar," katanya pada sidang media berkaitan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, jumlah kontak rapat yang dikenal pasti adalah seramai 40 orang dan mereka telah disaring serta diarah menjalani kuarantin di rumah.




"Seramai 25 kontak rapat yang dikenal pasti setakat ini melalui rekod panggilan telefon iaitu empat orang rakan serumah dan 21 orang pelanggan (melalui perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah).

"Kedai gunting rambut itu mula beroperasi pada 10 Jun (kelmarin) dan majikan telah membawa beliau menjalani saringan Covid-19.

"Terdapat seramai 15 kontak rapat yang telah mendapat khidmat menggunting rambut daripada beliau sehingga 11 Jun (semalam).

"Warga Pakistan ini telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 11 Jun (semalam). Punca jangkitan belum dikenal pasti dan siasatan masih dijalankan," katanya.

Post a comment

0 Comments