Tragedi Syawal. 3 Beradik Lemas, Jenazah Pertama di Temui


HULU TERENGGANU: Jenazah pertama mangsa lemas tiga beradik di Sungai Terengganu dekat Kampung Kuala Telemong, di sini, ditemui kira-kira 100 meter dari tempat kejadian jam 9.50 pagi ini.
Mayat, Umar Iskandar Mohd, 21, ditemui sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di dasar sungai kira-kira empat meter dari tebing sungai pada kedalaman lebih satu meter.

Penolong Pengarah Operasi Negeri, Mohd Basri, berkata jenazah dalam keadaan sempurna dan pihaknya meneruskan operasi mencari dan menyelamat dua lagi mangsa iaitu Khairil Firdaus, 17, dan Khalif Naim, 16.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat jam 7 pagi tadi disertai 79 anggota membabitkan Unit Pengesanan Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia (JBPM) (K9) Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur (lima), Polis (26), PPDA (10), Rela (tiga), Pasukan Bomba Sukarela (sembilan) dan Angkatan Pertahanan Awam (11).
"Kita membuat selaman selepas mendapat petunjuk dari Unit K9 yang turun ke sungai jam 8.50 pagi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah sepanjang melakukan operasi SAR berikutan keadaan air yang tenang dan berpasir.
Mohd Basri berkata, pihaknya meneruskan operasi SAR dengan pencarian membabitkan radius keluasan dua kilometer menghala ke arah ke laut.
Katanya, jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
Dalam kejadian semalam, tiga beradik lelaki; Khalif Naim,16, pelajar tingkatan empat Sekolah Imtiaz, Kuala Berang; Khairil Firdaus, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Agama Mahmudiah, Kuala Berang dan Umar Iskandar 21, yang juga penuntut di Universiti Malaya dikatakan mandi di kawasan sungai kira-kira 200 meter dari rumah mereka jam 6.30 petang.

Post a comment

0 Comments