Tiada Kematian, Hanya 30 Kes Baru. Malaysia Dalam Fasa Akhir Pemulihan, PKPB Akan Tamat 9 Jun?


Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi sidang media laporan harian perkembangan COVID19 Malaysia harini memaklumkan hanya 30 kes baru direkodkan dan 95 kes sembuh, manakala tiada kematian dilaporkan.

Daripada 30 kes berkenaan, tiga adalah kes import manakala 27 adalah kes penularan tempatan. Daripada 27 kes tempatan, 17 kes bukan warga negara manakala selebihnya adalah rakyat tempatan. Berikut pecahan kes mengikut negeri 

Memetik laporan Harian MetroMALAYSIA kini dalam fasa pemulihan terakhir susulan kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu berhasil mengurangkan penularan kes baharu Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada ketika ini pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula pada 4 Mei lalu turut berjaya menurunkan nilai kebolehjangkitan atau R0 (R-naught) sehingga 0.3 berbanding 0.6 ketika pelaksanaan PKP.
"Kita melihat (kes Covid-19 di Malaysia) kebolehjangkitan ialah 3.55 bermakna seseorang itu boleh menjangkiti 3.55 orang dan apabila laksanakan PKP, kita dapat kurangkan R0 (semasa PKPB) R0 menjadi 0.3 bererti seseorang yang dijangkiti hanya boleh menjangkiti 0.3 orang.
"Ia semakin berkurang dan untuk melihat kepada kes-kes yang akan datang, model ini sedang berjalan dengan baik. Sekarang ini, kita di peringkat pemulihan yang terakhir," katanya ketika temubual eksklusif bersama Bernama di Putrajaya.
R0 merujuk nilai kebolehjangkitan sesuatu virus pada permulaan sesuatu wabak dalam masyarakat, iaitu secara puratanya berapa ramai orang yang boleh dijangkiti oleh kes yang berlaku.
Dalam kaedah permodelan dan ramalan untuk sesuatu wabak, menurunkan nilai R0 kurang daripada angka 1 secara berterusan akan membantu mengakhiri sesuatu wabak.
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau situasi semasa negara sepanjang PKPB yang dikuatkuasakan sehingga 9 Jun.
"Sekiranya kes baharu boleh dicapai dalam satu angka untuk tempoh melebihi seminggu berkemungkinan sektor ekonomi akan dibuka 100 peratus, selain sektor sosial dan pendidikan," katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan itu turut berkongsi data sejak 4 Mei lalu hingga 29 Mei, hampir sebulan PKPB dikuatkuasakan yang menunjukkan hanya kira-kira 200 kes membabitkan rakyat Malaysia daripada 1,800 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Malaysia.
"Ini bermakna PKPB itu berjaya, PKP pun berjaya melandaikan lengkungan. Rakyat patuh kepada SOP dan ia bukan sebab tanggungjawab atau dilakukan oleh KKM tetapi menjadi kejayaan bersama," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, selain berdepan kenaikan kes mendadak membabitkan pendatang asing tanpa izin (Pati) di Depoh Tahanan Imigresen (DTI), KKM juga menjangkakan kes rentas negeri semasa perayaan Aidilfitri.
Namun, beliau berkata, ia mungkin tidak akan tercetus pada kadar yang tinggi dan masih boleh dikawal sekiranya rakyat kekal patuh kepada SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Mungkin kita akan dapat peningkatan kes tapi tidak secara mendadak, jadi kalau rakyat patuh kepada SOP mungkin kita tak dapat gelombang ketiga, kita menunggu sekarang ini, raya dah lepas.
"Mungkin dalam tempoh seminggu, dua minggu kita akan melihat kes (baharu) setiap hari. Kalau kes ini masih lagi rata iaitu dua angka dan juga satu angka, tempoh PKPB akan tamat pada 9 Jun. Kita akan lihat bagaimana keadaannya nanti," katanya.
Setakat semalam, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 direkodkan di Malaysia dalam tempoh tujuh hari berturut-turut sejak 23 Mei lepas dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal pada 115 kes (1.49 peratus).

Post a comment

0 Comments