Pak Aq Meninggal Dunia, Ustaz Ebit Lew Imbas Kenangan Bersama


"KETIKA hayatnya, arwah suami pernah beritahu jika hajatnya dapat membawa saya, anak-anak dan cucu berpindah ke rumah yang lebih selesa, itu sudah cukup bermakna buatnya sebelum dia meninggal dunia.
"Sekarang semuanya sudah tertunai namun dia hanya sempat tinggal di rumah ini selama lebih sebulan sebelum dia pergi buat selamanya," kata Jamaliah Rejab, 54.
Menurut Jamaliah, suaminya, Ishak Darus, 77, atau Pak Ishak meninggal dunia 8.30 pagi tadi di rumah mereka di Lorong Fajar, Taman Uda, Jalan Sultanah, hari ini.
Katanya, arwah yang menghidap angin ahmar tidak berselera makan sejak beberapa hari lalu dan hanya tidur sepanjang hari sejak mereka berpindah ke rumah baru itu.
"Saya rasa kehilangan sebab kami pernah hidup susah senang bersama di rumah lama di Lorong Gedebang, Jalan Langgar sebelum ini.
"Kami hanya tahu dia sudah tiada apabila makcik yang datang cuci luka di kaki saya (akibat kencing manis) pagi tadi beritahu, arwah suami dah meninggal apabila tiada tindak balas dan saya ingatkan dia tidur, " katanya ketika ditemui di rumahnya di Alor Setar, hari ini.
Menurutnya lagi, arwah yang tidak dapat bercakap akibat angin ahmar hanya mampu berkomunikasi menggunakan isyarat tangan malah suaranya juga tidak jelas.
Katanya, kira-kira 7 pagi tadi, dia menunjukkan dadanya sakit dengan menggosok tangan pada dadanya kepada anak lelaki sulung mereka.
"Anak saya sapu minyak pada dadanya sebelum dia hendak keluar bekerja dan lepas itu dia tidur.
"Tak lama kemudian baru saya dimaklumkan arwah dah tak ada," katanya.
Kisah Pak Ishak dan keluarganya pernah mendapat liputan meluas bulan lalu apabila pendakwah bebas, Ustaz Ebit Liew datang memujuk dan membantunya berpindah ke rumah baru dari rumah lamanya yang serba daif, April lalu.
Pak Ishak mempunyai isteri yang tidak bekerja dan 10 anak iaitu tiga lelaki dan tujuh perempuan masing-masing berusia 33 hingga 17 tahun.
Lapan daripada 10 anak Pak Ishak tinggal bersamanya di rumah lama di Lorong Gedebang yang menjadikan keseluruhan isi rumah yang menetap di situ seramai 20 orang.
Sementara itu, Imam Masjid Sultanah Bahiyah, Mustafa Kamil berkata, pihaknya bersama penduduk kawasan itu akan berusaha membantu membuat kutipan kecil bagi menguruskan pengebumian arwah Pak Ishak.
Beliau berkata, jenazah Pak Ishak dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Uda lepas solat Asar petang ini.
Jawatankuasa Peduli Rakyat penduduk taman itu, Nasir Ismail berkata, beliau sudah menghubungi Ustaz Ebit Liew untuk memaklumkan berita kematian Pak Ishak pagi tadi.
Katanya, pihaknya juga akan membantu menguruskan keluarga arwah sejurus urusan pengebumian selesai petang ini.
"Kami tak bantu banyak, cuma yang perlu saja malah sejak mereka berpindah sini kami banyak membantu menguruskan mereka," katanya.


POSTING USTAZ EBIT LEW, SAYU HATI


Sayu hati rasa. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Baru dapat berita Pak Aq Kedah meninggal dunia pagi ini. Banyak perkara sempat kami kongsikan bersama. Keinginan, hajatnya, dan doanya masa awal PKP hari tu. 
Ingin menyediakan tempat tinggal buat isteri dan anak cucunya yang baik dan selesa. Ingin hantar cucu ke tahfiz dan sekolah yang baik. Sayu masa dapat angkat Pak Aq bawa ke ambulans masa tu. Sempat pindah ke rumah baru. Saya cakap padanya mungkin esok lusa kita dah tiada. Baki hidup ini kita siapkan bekalan dengan mendidik anak cucu dengan Islam dan kebaikan.
Pak Aq waktu sekejap kami bersama Pak Aq menjadi pelajaran kehidupan buat saya dan team. Terima kaseh penduduk setempat dan ajk masjid, jkkk,dan semua yang membantu menguruskan pengkebumian Pak Aq hari ini. Allah sayang semua.
Pak Aq orang baik. Semoga segala ujian dan kesusahan yang Pak Aq lalui menjadi asbab syurga untuk Pak Aq. Allah sayang Pak Aq. Semoga Allah ampuni dan cucuri rahmat ke atas jenazah beliau. Allah jagakan keluarganya.

Post a comment

0 Comments