Menteri Kewangan Sarankan Bank Lupus Faedah Terakru Dalam Tempoh Moratorium

Jika semalam rakyat tertanya-tanya mengenai faedah  yang bakal dibayar oleh mereka jika mengambil enam bulan moratarium, hari ini Menteri Kewangan  Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dicatatan facebook nya menyarankan agar semua institusi kewangan  khususnya yang terlibat dalam moratorium untuk mempertimbangkan  bagi melupuskan kadar faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli atau keuntungan (bagi pembiayaan  Islam berkadar tetap sepanjang tempoh enam bulan skim tersebut.
Dalam catatannya hari ini, Menteri Kewangan ini menyarankan agar  bank melupuskan Faedah Terakru atas Pinjaman Sewa Beli dan atas Keuntungan Pembiayaan Islam Kadar Tetap.
Didoakan Saudara dan Saudari berada di dalam keadaan sihat bersama keluarga.
Baru-baru ini berlaku kekeliruan umum berkenaan kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium (penangguhan) 6 bulan bayaran balik pinjaman sewa beli yang ditawarkan oleh institusi kewangan.
Antara punca kekeliruan ini disebabkan pelbagai sumber yang membawa maklumat kurang tepat.
Sehubungan dengan itu, pihak Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Mei 2020 telahpun menerbitkan di laman web BNM sebuah dokumen ‘Soalan Lazim (FAQs) Mengenai Pengendalian Moratorium bagi Pinjaman Sewa Beli dan Pembiayaan Islam Berkadar Tetap’ yang telah dikemaskini. BNM juga telah membuat sidang media untuk memperjelaskan lagi kekeliruan yang dihadapi peminjam.
Sejak kebelakangan ini, media massa dan netizen banyak menimbulkan persoalan mengenai isu ini.
Untuk makluman saudara saudari, memang terdapat bank yang menawarkan moratorium pinjaman tanpa mengenakan faedah terakru (accrued interest) atau faedah dikompaun (compounded interest) atas pinjaman. Namun yang demikian, ia tidaklah merangkumi semua produk pinjaman. Setiap bank pula ambil pendekatan tersendiri dalam hal mengenakan faedah sewaktu tempoh moratorium.
𝐌𝐞𝐧𝐠𝐚𝐦𝐛𝐢𝐥 𝐤𝐢𝐫𝐚 𝐭𝐞𝐫𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐤𝐞𝐦𝐮𝐧𝐠𝐤𝐢𝐧𝐚𝐧 𝐢𝐚 𝐝𝐚𝐩𝐚𝐭 𝐝𝐢𝐥𝐚𝐤𝐬𝐚𝐧𝐚𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐦𝐞𝐧𝐝𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫 𝐩𝐞𝐫𝐦𝐢𝐧𝐭𝐚𝐚𝐧 𝐫𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭, 𝐬𝐚𝐲𝐚 𝐢𝐧𝐠𝐢𝐧 𝐦𝐞𝐧𝐲𝐚𝐫𝐚𝐧𝐤𝐚𝐧 𝐚𝐠𝐚𝐫 𝐬𝐞𝐦𝐮𝐚 𝐢𝐧𝐬𝐭𝐢𝐭𝐮𝐬𝐢 𝐤𝐞𝐰𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 𝐤𝐡𝐮𝐬𝐮𝐬𝐧𝐲𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐥𝐢𝐛𝐚𝐭 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐦𝐨𝐫𝐚𝐭𝐨𝐫𝐢𝐮𝐦 𝐢𝐧𝐢 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐦𝐞𝐦𝐩𝐞𝐫𝐭𝐢𝐦𝐛𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐧 𝐬𝐮𝐩𝐚𝐲𝐚 𝐟𝐚𝐞𝐝𝐚𝐡 𝐭𝐞𝐫𝐚𝐤𝐫𝐮 (𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐩𝐢𝐧𝐣𝐚𝐦𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐰𝐚 𝐛𝐞𝐥𝐢) 𝐚𝐭𝐚𝐮 𝐤𝐞𝐮𝐧𝐭𝐮𝐧𝐠𝐚𝐧 (𝐛𝐚𝐠𝐢 𝐩𝐞𝐦𝐛𝐢𝐚𝐲𝐚𝐚𝐧 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐛𝐞𝐫𝐤𝐚𝐝𝐚𝐫 𝐭𝐞𝐭𝐚𝐩) 𝐝𝐢𝐥𝐮𝐩𝐮𝐬𝐤𝐚𝐧 𝐬𝐞𝐰𝐚𝐤𝐭𝐮 𝐭𝐞𝐦𝐩𝐨𝐡 𝟔 𝐛𝐮𝐥𝐚𝐧 𝐦𝐨𝐫𝐚𝐭𝐨𝐫𝐢𝐮𝐦.
Menurut Akta Bank Negara 2009, isu ini berada di bawah bidang kuasa BNM. Namun yang demikian, Kementerian Kewangan telah memulakan langkah proaktif mencari penyelesaian kemelut ini melalui perbincangan bersama BNM dan bank-bank untuk membuat keputusan yang tepat mengikut keperluan rakyat.
Kami di Kementerian Kewangan bersedia untuk bekerjasama dengan BNM dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan ini. Kerajaan sentiasa peka kepada cetusan hati nurani rakyat, terutamanya dari golongan B40 dan M40, dan mengambil berat perkara ini. Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak COVID-19, saya amat berharap pandangan ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM dan juga institusi-institusi kewangan dalam negara.
Saya yakin langkah ini akan dapat memberi impak positif kepada rakyat kita.
Tengku Zafrul Aziz

Post a comment

0 Comments