Langgar Arahan PKPB Ziarah Aidilfitri, 6 Sahabat dikompaun RM1000 Setiap Seorang


Kegembiraan enam sahabat menyambut Aidilfitri di sebuah rumah dekat Penaga di sini membawa padah apabila mereka dikompaun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kompaun RM1,000 setiap seorang itu dikeluarkan selepas polis mengadakan pemeriksaan secara mengejut kira-kira jam 3.45 petang tadi sebelum mendapati enam sahabat termasuk lima wanita berusia lingkungan 20-an berhari raya, yang jelas melanggar arahan ditetapkan.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis tidak lagi mengeluarkan amaran sebaliknya terus mengambil tindakan kompaun atau melakukan tangkapan bagi mereka yang berdegil dan tidak mematuhi arahan yang ditetapkan.
Beliau berkata, sejak hari pertama umat Islam menyambut Aidilfitri hingga hari ini sebanyak 101 kompaun dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan antaranya merentas negeri dan melakukan aktiviti ziarah ke rumah sanak saudara.

Rentas negeri tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan polis giat melakukan sekatan di pintu masuk sempadan daerah ini.
Dalam pada itu seperti sedia maklum, kerajaan hanya membenarkan aktiviti ziarah pada hari raya pertama sahaja, itu pun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Oleh itu, polis bertindak tegas dan tidak lagi memberi amaran seperti hari ini kita menahan enam individu termasuk tuan rumah yang melakukan serta membenarkan aktiviti ziarah," katanya, di sini, hari ini. 


Jelasnya, polis akan terus mengadakan rondaan dan pemantauan bagi memastikan orang awam mematuhi arahan dalam memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.
Noorzainy berkata, polis daerah itu membahagikan kepada 10 pasukan dalam mengadakan pemantauan dan operasi di sekitar daerah itu selari dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Post a comment

0 Comments