‘Konvoi’ Naik Motosikal Tanpa Alasan Munasabah, 25 Orang Dikompaun Termasuk Polis


Di Simunjan, Sarawak, seramai 25 individu termasuk seorang anggota polis dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semalam.
Menerusi laporan Harian Metro, kompaun tersebut diberikan kepada kesemua 25 individu tersebut selepas sepasukan anggota polis menjalankan pemantauan di Kilometer 1, Jalan Tun Openg, Simunjan.

Gagal memberi alasan munasabah

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar, pemantauan tersebut dilakukan pada 2 petang semalam. Sekumpulan penunggang motosikal berjaya ditahan dan diperiksa sebelum dikenakan kompaun.
Seramai 25 individu menunggang motosikal dari arah Pasar Simunjan menghala ke Kampung Nanas, Simunjan. Hasil pemeriksaan mendapati mereka yang datang dari Kota Samarahan gagal memberi alasan munasabah masuk ke daerah Simunjan tanpa surat kebenaran polis.
Mereka mengaku hanya bersiar-siar dari Kota Samarahan ke Simunjan kerana sudah lama tidak menunggang motosikal. Antara yang dikompaun adalah seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan.
Tambahnya, kesemua mereka dibawa ke Balai Polis Simunjan untuk dikompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan). Kesemua mereka turut diarahkan balik ke Kota Samarahan melalui Jambatan Sadong.
Sumber: Harian Metro

Post a comment

0 Comments