Gadis Kelahiran Kuantan Berusia 25 Tahun Terpilih Wakili Malaysia Ke PBB Untuk Program Angkasa Lepas



Ingat nama ini, Brelveenraj Kaur Rajwant Singh, anak muda berusia 25 tahun yang selalu tertanya-tanya apakah rahsia yang wujud di ruang angkasa. Dan dia kini sedang dalam perjalanan untuk merungkai sendiri persoalan itu apabila dipilih untuk mewakili negara sebagai National Point of Contact (NPoC) ke United Nations-backed Space Generation Advisory Council (SGAC).
Dia yang dilahirkan di Kuantan, Pahang adalah salah seorang daripada 13 sukarelawan muda yang dipilih untuk berada di dalam program Aplikasi Angkasa yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
SGAC adalah sebuah organisasi bukan kerajaan yang bertapak di Vienna, Austria. NGO ini mempunyai keahlian lebih daripada 15,000 dari 150 negara di seluruh dunia. Ia ditubuhkan dengan tujuan untuk mewakili pelajar universiti dan profesional muda berumur 18-35 tahun ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, agensi angkasa, industri, dan akademik.
Sebagai NPoC Malaysia, Brelveenraj akan berkomunikasi dengan NPoC lain di seluruh Asia Pasifik mengenai aktiviti ruang angkasa pada masa hadapan di rantau ini. Dia juga akan berhubung dengan agensi ruang angkasa tempatan dan berbincang tentang aktiviti ruang angkasa di Malaysia.
Ketika ditemuramah oleh The Rakyat Post, Brelveenraj menyatakan kegembiraannya selepas dipilih untuk mewakili negara. Dia mula berminat untuk  mengikuti program ini ketika hadir ke Young Professionals in Space Conference (YPinSpace) di Dubai tahun lalu. Di sana, dia telah bertemu dengan puluhan wakil SGAC dari seluruh dunia dan terinspirasi oleh pencapaian mereka.
Brelveenraj adalah anak muda lulusan Kejuteraan Elektrik dan Elektronik dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Dia kini bekerja sebagai pengawal satelit di MEASAT. Dalam masa yang sama, dia juga telah melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam Kejuruteraan Aeroangkasa (GNSS dalam Penerbangan).
Selain itu, dia juga telah mengambil bahagian dalam banyak persidangan teknologi angkasa antarabangsa seperti Persidangan Multi GNSS 2020 di Singapura dan Persidangan Cabaran Aplikasi Angkasa NASA 2019.

Post a comment

0 Comments