Anggota Polis 'datang beraya'


TUMPAT: Ziarah Aidilfitri di sebuah kediaman di Kampung Bunohan, di sini petang semalam dikejutkan dengan kehadiran sekumpulan anggota polis yang hadir membuat pemeriksaan.
Bagaimanapun, kumpulan yang beraya dipercayai sanak saudara terdekat tidak melebihi 20 orang, menyebabkan tiada tindakan dikenakan.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata walaupun jumlah itu tidak melebihi syarat ditetapkan, anggotanya tetap menasihatkan semua individu supaya tidak berkumpul dalam tempoh lama.
"Sebaik anggota polis tiba, ada beberapa individu dalam kelompok itu bersurai dan bagi yang kekal di sana, nasihat mengenai penjarakan sosial diberi dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ab Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas rakaman video yang tular mengenai kehadiran pihak berkuasa di sebuah rumah untuk membuat pemeriksaan berikutan dilaporkan menerima ramai pengunjung.
Walaupun tiada tindakan dikenakan dalam situasi semalam, pihaknya serius membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah kerana dibimbangi ada yang memandang ringan terhadap SOP yang dikeluarkan.
"Kami serius memantau situasi sebegini (berkumpul) dan sentiasa membuat pemeriksaan mengejut sekiranya kelihatan kenderaan atau ramai pengunjung di sesebuah kediaman.
"Setakat pemeriksaan hari ini, tiada yang berkumpul melebihi 20 orang dan semuanya mematuhi SOP.
"Sekiranya ada yang dikesan berkumpul ramai sehingga melanggar SOP, kita akan mengeluarkan notis kompaun," katanya.

Post a comment

0 Comments