‘Aku Nak Masuk Islam, Aku Nak Mati Dalam Islam’ – Lelaki Peluk Islam Sehari Sebelum Meninggal Dunia


Baru-baru ini viral di media sosial seorang lelaki berbangsa Cina dikatakan sempat melafazkan kalimah syahadah sebelum meninggal dunia. Dia difahamkan meninggal dunia akibat kanser di kediaman adiknya di Subang Jaya.
Menerusi laporan Harian Metro, adiknya, Suzie Tan menceritakan kejadian yang berlaku dan mengakui abangnya memeluk Islam dengan menggunakan nama Mohammad Ridzuan Tan Abdullah.

Viral di media sosial

Menurut Suzie, dia ada meminta arwah berdoa supaya diringankan sakit. Arwah kemudiannya meminta penjaganya mengajar dua kalimah syahadah.
Tiga kali saya suarakan supaya dia berdoa kepada tuhan minta kurangkan kesakitannya sepanjang kira-kira tiga minggu dia tinggal di Subang Jaya, memandangkan dia seorang free thinker, dia hanya diam.
Akhirnya, kira-kira 9 pagi Selasa lalu ketika saya bangkitkan hal sama, dia minta penjaganya, Nurin, untuk ajar dia mengucap dua kalimah syahadah.
Amat menakjubkan selepas mengucap, arwah kelihatan sangat tenang dan kemudian menghabiskan masa berbual dan bergelak ketawa bersama anak dan menantunya sepanjang hari.
Menjelang malam, anak dan menantu arwah pulang ke rumah mereka dan pada waktu Subuh, saya dapati abang saya sudah tiada. Dia meninggal dalam tidur.
Kata Suzie lagi, dia melihat riak wajah abangnya lebih tenang sebaik sahaja mengucap syahadah. Dia dan adik beradik yang lain tiada masalah dengan jalan yang dipilih abang sebelum meninggal dunia.

Terjumpa buku Fardu Ain mengajar cara solat

Adik bongsu arwah, Mohammed Khairi Tan Abdullah pula memberitahu abangnya sebelum ini tidak pernah menunjukkan minat dengan Islam dan keputusan itu diakui sangat mengejutkan.
Jika diikutkan minat, mungkin saya lebih minat untuk memeluk Islam apabila saya sendiri pernah dipuji oleh ustazah kerana boleh menulis jawi dan membaca ayat suci al-Quran dengan baik walaupun saya orang Cina.
Manakala, arwah, selain banyak bergaul dengan masyarakat Melayu, dia memang fasih berbahasa Melayu, malah fizikalnya juga bermisai menampakkan seperti orang Melayu, namun tiada tanda-tanda dia ingin memeluk Islam.
Cuma pernahlah ketika umur saya sekitar 12 tahun, saya terjumpa buku Fardu Ain yang mengajar cara solat dan sebagainya di dalam laci arwah.
Ketika itu arwah berusia 24 tahun dan saya pun tidak mengesyaki apa-apa ketika saya masih kecil, sekadar selongkar barang abang-abang dan saya tidak tanya atau mengadu kepada sesiapa mengenai perkara itu.
Tambahnya lagi, arwah abang sememangnya rapat dengan rakan Melayu dan dia sering dipanggil dengan nama Melayu seperti Ridzuan dan Azlan.

‘Aku nak masuk Islam’

Memeluk agama Islam juga bukanlah perkara asing di dalam keluarga mereka memandangkan dia dan kakak sudah sekian lama menukar agama.
Daripada 14 beradik seibu sebapa, saya dan kakak saya di Singapura sudah pun memeluk Islam sejak zaman muda lagi yang mana kakak saya kini juga seorang ustazah di sana.
Jadi, perkara ini bukanlah asing. Kakak saya (Suzie) pun beritahu saya dalam keadaan bersahaja, ‘Khairi, abang kau (Foo Hock) dah masuk Islam’ sebaik arwah selesai lafaz dua kalimah syahadah.
Kakak saya kata, arwah cakap ‘aku nak masuk Islam, aku nak mati dalam Islam’ sambil suruh Nurin ajar dia mengucap tapi Nurin teragak-agak kerana bimbang dengan respons orang lain, namun dia lakukan juga apabila semua ahli keluarga tidak membantah.
Sebagai seorang adik, dia sangat bersyukur dan mendoakan yang terbaik buat arwah abang kesayangannya itu. Pengalaman memandikan jenazah buat kali terakhir adalah pengalaman indah bersamanya.
Sumber : Harian Metro

Post a comment

0 Comments