[VIDEO] 'Sebagai manusia, saya akan perbaiki diri' - Vivy Yusof Tampil Mohon Maaf


AHLI perniagaan popular, Datin Vivy Yusof menafikan dakwaan dia menghina golongan B40 dan M40 yang layak mendapat Bantuan Prihatin Nasional menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin okeh kerajaan, baru-baru ini.
Vivy dalam kenyataan menerusi video semalam, mendakwa itu adalah fitnah yang dibuat secara terang-terangan kerana dia tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti itu.
“Perkara ini timbul dalam siaran langsung Facebook (FB) Live, bukan FB saya kerana saya memang tiada akaun FB, tetapi saya menonton ‘live’ itu. Saya tidak mempertikaikan pemberian bantuan kepada golongan berkenaan seperti didakwa. Sebaliknya, saya bimbang nasib yang akan menimpa ahli perniagaan dan pekerja disebabkan kelembapan ekonomi.

MOHON MAAF

“Selain itu, saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan golongan berkenaan tidak menyumbang kepada ekonomi negara menerusi FB Live itu,” katanya.
Vivy turut membuat permohonan maaf secara terbuka kepada golongan B40 dan M40 yang tersinggung dengan kenyataannya.
Katanya, cemuhan dan fitnah yang diberikan terhadapnya amat melampau hingga memerlukan dia mempertahankan diri.
“Ketika kenyataan itu sudah di dalam Twitter, ia menjadi tak terkawal. Saya selalu berpesan kepada semua wanita untuk mempertahankan diri mereka. Sekarang adalah waktunya saya mempertahankan diri kerana saya tak pernah keluarkan kenyataan itu,” katanya.

TINDAKAN UNDANG-UNDANG AKAN DIAMBIL

Vivy berkata, dia juga akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memutar belit kenyataan hingga ada pihak melancarkan petisyen meminta dia meletak jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah, Universiti Teknologi MARA (UiTM).
“Jika saya memandang rendah terhadap golongan ini, sudah tentu saya tidak akan ambil peduli atau mewujudkan tabung untuk mereka. Namun, saya bimbang dan mengambil berat mengenai nasib mereka dalam keadaan sekarang. Mungkin kesilapan datang daripada saya.
“Mungkin ada penggunaan ayat saya tidak tepat dan saya akan memperbaiki diri selepas ini. Saya juga akan lebih berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan atau berkongsi dalam media sosial,” katanya.
Vivy berkata, dia berharap pengguna laman sosial akan lebih peka dan memastikan kesahihan fakta terlebih dulu.
“Timbul sedikit kecewa apabila netizen mempercayai tanpa memeriksa kesahihan fakta sebelum berkongsi dengan meluas dan mengulang ciap di Twitter. Tak pasal-pasal mereka mengutip dosa.
“Saya pernah melakukan perkara sama apabila tidak memeriksa fakta sebelum berkongsi di laman sosial. Sejak itu, saya lebih berhati-hati,” katanya.

Post a comment

0 Comments