TUDM Terbangkan 2.9 Juta Topeng Muka ke Sabah, Sarawak


KUALA LUMPUR: Dua pesawat pengangkut A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditugaskan melakukan penerbangan membawa keperluan perubatan dan kesihatan ke Sabah dan Sarawak.
Pesawat A400M pertama diterbangkan Kapten Mohd Hafiz Mat Yusof; pembantu juruterbang, Kapten Muhd Izwan Noor Azman dan tiga anak kapal, pada jam 8.15 pagi dari Pangkalan Udara (PU) Subang dan tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, Sabah, jam 11 pagi tadi.
Manakala, pesawat A400M kedua diterbangkan Kapten Mohd Fitrie Idham Kamaruddin, dibantu pembantu juruterbang, Kapten Mohd Amir Shahrin dan lima anak kapal, pada jam 10.50 pagi tadi.
Badan Perhubungan Awam TUDM dalam kenyataan malam tadi, berkata penerbangan pertama membawa lebih 2.9 juta topeng muka daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Penerbangan sama katanya, turut membawa 44 kotak perlindungan, spesimen klinikal tambahan kepada fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) dan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan kumpulan barisan hadapan mendepani pandemik COVID-19.
“Topeng muka ini diterima Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah selaku Sekretariat Pengurusan Bencana negeri dan daerah dengan 2.86 juta daripada jumlah keseluruhan akan disalurkan ke Sabah manakala Wilayah Persekutuan Labuan ( 107,500).
“TUDM juga akan melaksanakan satu lagi penerbangan dalam masa terdekat bagi membawa 2,718,500 topeng muka daripada NADMA ke Sarawak, selain TUDM komited melaksanakan tanggungjawab sosial kepada negara,” katanya.
Bagi penerbangan kedua, kenyataan itu berkata, pesawat berkenaan membawa 44 kotak perlindungan sumbangan Persatuan Bekas Putera (OPA) bagi kegunaan Jabatan Kesihatan Sabah dan spesimen klinikal tambahan untuk fasiliti KKM.
Katanya, spesimen klinikal tambahan KKM terdiri daripada bekalan peralatan makmal, farmasi, PPE dan peralatan perubatan kritikal untuk disalurkan kepada Jabatan Kesihatan Sabah dan Sarawak dengan ia adalah daripada KKM, Malaysia Relief Agency dan NADMA.
“Tahniah kepada semua anak kapal pesawat A400M daripada No 22 Skuadron, PU Subang yang melaksanakan misi ini terutama ketika negara berhadapan dengan krisis kesihatan dunia.
“Pembabitan pesawat TUDM diperlukan bagi menyalurkan bantuan daripada Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Negara kini meningkatkan usaha memerangi COVID-19, khususnya menyediakan keperluan kepada petugas barisan hadapan yang berusaha merawat pesakit dijangkiti COVID-19.
“TUDM akan memberi bantuan dan sokongan penuh kepada kerajaan serta agensi lain dalam usaha menangani penularan wabak bahaya ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Post a comment

0 Comments