Tetap Terima Pelanggan, Tukang Gunting Rambut Meninggal Dunia Angkara COVID-19


Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan sehingga 28 April 2020. Disebabkan perintah ini dilanjutkan, kerajaan telah memberi kelonggaran 9 industri untuk beroperasi sepanjang tempoh PKP termasuklah perkhidmatan gunting rambut dan dobi.
Mungkin kejadian ini boleh dijadikan iktibar bahawa tukang gunting rambut dan pelanggan turut mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19.


Eugene Thompson, 46 seorang tukang gunting rambut veteran di Mississippi, Amerika Syarikat telah meninggal dunia selepas disahkan positif COVID-19.
Thompson merupakan pemilik kedai gunting rambut Taper Nation telah mengesahkan beliau jatuh sakit pada 17 Mac yang lalu menerusi akaun Facebook miliknya. Dalam perkongsian tersebut, beliau bekata akan bercuti selama seminggu untuk berehat dan mahu pelanggannya untuk kuarantin diri mereka dan menjauhi tempat yang sesak.
Perkongsian tersebut dibuat selepas beliau mengumumkan akan hanya menerima pelanggan yang terpilih sahaja setiap hari. Bermakna, sebelum Thompson jatuh sakit, kedai gunting miliknya beroperasi seperti biasa dan menerima pelanggan tanpa saringan kesihatan (atau kemungkinan besar tanpa perlindungan diri seperti topeng muka).


Thompson bagaimanapun tidak pulih daripada sakitnya dan meninggal dunia seminggu sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-46. Justeru itu, setiap pelanggan yang menggunting rambut di kedai Thompson dinasihatkan untuk membuat saringan COVID-19. Ini termasuklah semua yang menghadiri sebuah pertandingan gunting rambut yang turut dihadiri oleh Thompson dan pekerjanya yang lain beberapa minggu yang lalu.
Setakat 10 April 2020, lebih 500,000 penduduk Amerika Syarikat telah dijangkiti COVID-19 dan bilangan mereka yang dijangkiti juga naik secara drastik setiap hari. 


Kementerian Perdagangan Dan Industri (MITI) menjelaskan setiap syarikat di dalam sektor tambahan yang mahu beroperasi perlu membuat permohonan terlebih dahulu dan permohonan akan dibuka pada 13 April 2020, 9 pagi di miti.gov.my.
Namun sebarang servis tidak dibenarkan dibuka untuk kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Sementara itu buat anda yang mahu ke kedai gunting rambut selepas ini, pastikan anda tidak lupa untuk memakai topeng muka dan bersihkan diri selepas pulang ke rumah kediaman.

Post a comment

0 Comments