Tengok Pun Dah Terliur! Ini Cara Mudah Buat Miang Pla Pao Bersama 2 Resipi Sos Thai

Miang Pla Pao menjadi salah satu signature makanan wajib jika anda melancong ke Thailand. Makanan ini berasaskan ikan bakar yang disaluti garam, dimakan bersama beberapa makanan lain termasuk laksa saiz kecil, makanan laut dan sayuran. Rasanya yang pedas, manis, masam dan masin sangat sebati di dalam tekak.
Kalau anda nak sediakan Miang Pla Pao sebagai hidangan berbuka puasa pun bagus juga. Lain dari yang lain. Kami kongsikan kepada anda resipi mudah Miang Pla Pao supaya anda juga boleh buat di rumah.

Bahan yang diperlukan

Bagi menyediakan resipi Miang Pla Pao ini anda perlu sediakan ikan talapia yang digoreng garing. Kalau nak bakar pun tidak mengapa. Pastikan ikan talapia tadi digaulkan dengan garam, sedikit kunyit, halia seinci dan 3 biji bawang putih yang sudah ditumbuk.
Sekiranya anda gemar dengan udang dan sotong, boleh juga dijadikan hidangan. Seperti biasa, udang dan sotong ini perlu diperap dengan 4 biji bawang putih yang sudah ditumbuk, setengah halia dan garam. Kemudian, bakar seketika. Untuk kerang pula, anda boleh rebus sahaja dan tidak perlu bakar.
Sediakan juga salad dan suhun. Tetapi jika di Thailand, mereka akan menggunakan laksa Thai bersaiz kecil.

Sos hijau Thai

Sos bagi Miang Pla Pao ini adalah ramuan utama dalam menentukan hidang tersebut sedap atau sebaliknya. Jadi, bagi menyediakan sos hijau Thai yang sedap anda perlu sediakan 10 tangkai cili padi hijau, 5 biji limau nipis, 3 ulas bawang putih, 2 sudu sos ikan, 2 sudu sos plam dan 1 akar ketumbar.
Tumbuk ke semua bahan tadi bersama sedikit garam dan gula.

Sos Thai kedua

Manakala, sos Thai yang kedua ini sebenarnya boleh dimakan bersama daging bakar juga. Anda hanya perlu sediakan 5 tangkai cili merah, 5 tangkai cili hijau, 3 ulas bawang putih, 2 biji limau nipis, 1/2 gula melaka, 1 sudu gula pasir, 1 sudu sos ikan, 1 susu sos plam, 1 sudu air suam dan 1/2 serbu cili.
Kesemua bahan ini dikisar. Kemudian, taburkan hirisan daun ketumbar ke atas sos. Cara untuk makannya, mudah sahaja… letakkan sedikit isi ikan, sotong, udang atau kerang ke atas daun salad. Kemudian, letakkan sedikit suhun dan kedua jenis sos tadi. Begitulah cara untuk menyediakan Miang pla pao ini.
Mudah, bukan? Boleh buat sebagai menu berbuka puasa bersama keluarga. Sesekali ubah selera apa salahnya.

Post a comment

0 Comments