‘Lockdown’ Di India, Ibu Sanggup Redah Perjalanan 1,400KM Kerana Rindukan Anak

Kasih sayang terhadap anaknya telah membuatkan seorang wanita di Telangana, India sanggup menunggang motor hampir 1,400 KM selama tiga hari untuk membawa pulang anaknya yang tersekat akibat penguncian di Nellore.
Beberapa minggu lalu, Perdana Menteri India, Narendra Modi telah mengambil keputusan untuk mengenakan perintah ‘lockdown’ terhadap seluruh India bagi membendung penyebaran wabak COVID-19.
Razia Begum, seorang guru besar sekolah milik kerajaan, Bodhan Mandal Parishad Territorial Constituency School melakukan perjalanan tersebut kerana terlalu rindu dengan anaknya, Mohammed Nizamuddin yang berusia 19 tahun.
Ibu tunggal berumur 48 tahun ini memulakan perjalanan pada pagi Isnin. Razia sampai di Nellore, sempadan Andhra Pradesh-Tamil Nadu pada petang Selasa. Dia membawa pulang anaknya ke rumah pada petang Rabu.
Razia adalah seorang ibu tunggal dengan dua orang anak – seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Dalam perjalanannya selama tiga hari, Razia menempuh jarak 1,400 km bersama dengan motor merahnya.
Nizamuddin terkandas di Nellore ketika melawat seorang ayah kawannya yang sakit pada 12 Mac. Namun, setelah pengumuman penguncian dari kerajaan India, dia terkandas tanpa jalan pulang ke Telangana.
Pada 5 April, Razia mengambil keputusan untuk pergi ke Nellore bagi menjemput anaknya. “Saya tidak mempunyai pilihan melainkan meneruskan perjalanan dengan motor saya.
“Saya tidak dapat menyewa kereta kerana tidak ada yang berminat dan selain itu, jika saya membawa kereta, kemungkinan untuk saya melepasi pihak polis di lebuh raya adalah sukar.
“Saya fikir hanya dengan menaiki skuter sahaja saya dapat meyakinkan polis supaya saya dapat melakukan perjalanan,” katanya.
Razia Begum akan berhenti untuk mengisi minyak di mana sahaja stesen minyak yang dia jumpa. Dia juga membawa bersamanya satu tin kosong bagi mengisi minyak motor tambahan. Roti dan Sabzi jadi makanan sepanjang perjalanan dia ke Nellore.
“Dia tiba pada jam 7:30 pagi. Dia memandu hampir 23-24 jam untuk menjemput saya dan saya sangat terharu serta sangat gembira melihatnya.
“Kami pulang pada petang Rabu. Ibu hanya makan makanan yang sihat selepas dua hari,” kata Nizamuddin.

Post a comment

0 Comments