Kedah Negeri Terbaru Batalkan Bazar Ramadan dan Aidilfitri


ALOR SETAR: Kerajaan Kedah memutuskan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan dan jualan sempena Aidilfitri yang akan berlangsung di semua daerah di negeri itu tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keputusan itu dibuat sebagai inisiatif bagi mengelakkan orang ramai berkumpul, sekali gus berkemungkinan meningkatkan penularan wabak COVID-19.


“Justeru, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap daerah yang sudah mengambil deposit daripada pembida (pemilik gerai) perlu memulangkan kembali wang deposit,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan kerajaan negeri itu mengambil keputusan membatalkan semua Bazar Ramadan dalam usaha mengekang penularan COVID-19.

Kerajaan Negeri Terengganu pada Isnin turut mengumumkan perkara sama.

Dalam perkembangan berkaitan, Mukhriz berkata, skim Rancangan Perumahan Awam (RPA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik kerajaan negeri turut ditangguh pembayarannya selama enam bulan bermula 1 April hingga 30 September depan.

"Selain itu, kita turut memutuskan bahawa bayaran sewa Skim PPR Transit dan Sewa Kedai seliaan Bahagian Perumahan dikecualikan selama enam bulan," katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata, sebuah badan baharu iaitu Badan Penilaian Pemprosesan Operasi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) turut ditubuhkan untuk memantau dan menilai operasi di kilang-kilang PKS sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Post a comment

0 Comments