COVID19: "Kita Belum Menang, Mungkin Berperang Hingga Tahun Depan"

PUTRAJAYA: Malaysia mungkin terpaksa berperang sehingga tahun depan dalam menentang penularan wabak COVID-19 seperti yang dijangkakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata apa yang perlu difikirkan ialah perancangan strategi yang boleh diguna dan diamalkan sehingga tahun depan berikutan belum ada vaksin boleh melindungi diri daripada jangkitan COVID-19.
Apa yang penting ketika kini, katanya, ialah negara dapat mengurangkan bilangan kes jangkitan walaupun belum dapat menamatkan episod jangkitan COVID-19.
“Selain menjalankan ujian terhadap antibodi seperti dicadangkan pakar untuk komuniti, Kementerian Kesihatan (KKM) juga memantau kewujudan kes penyakit seperti influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dalam komuniti yang menentukan kewujudan virus itu.
“Tetapi sekarang kita lihat kes ILI dan SARI semakin berkurangan. Kalau berkurangan, itu satu indikasi baik untuk kita melaksanakan atau merancang tindakan bagi masa depan.
“Apa yang kita dapat lihat daripada kes yang sedang dikaji ialah bagaimana kita dapat mengambil tindakan sewajarnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.
“Mungkin kena lihat aktiviti kita berbeza, kelaziman kita juga berbeza selagi kita tidak ada vaksin," katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini, hari ini.

Post a comment

0 Comments