‘Bukti Kasih Sayang Buat Cikgu Aminah’- Bekas Pelajar Berkumpul & Bantu Guru Uzur



Zaman persekolahan dulu, sudah pasti setiap pelajar mempunyai guru kegemaran. Bahkan, mungkin sehingga hari ini korang akan berhubung dan bertanya khabar mengenai keadaan guru tersebut. Betul tak?
Di Facebook, seorang wanita berkongsi kisah di mana dia dan rakan sekelasnya mencari cikgu Aminah selepas sekian lama mereka tidak berjumpa. Lebih terharu, mereka ingin menabur semula bakti buat guru kesayangan mereka yang sedang sakit itu.

Melengkapkan keperluan cikgu

Ini bukti kasih dan sayang yang tidak bertepi. Tanpa syarat. Tanpa paksaan. Hadir dari jiwa suci yang benar-benar tulus dan ikhlas. Mereka berlumba-lumba datang memberi bakti kepada Cikgu Aminah. Urusan discaj cikgu dari ward. Urusan penghantaran cikgu pulang ke rumah. Urusan mencari katil hospital untuk cikgu. Urusan mencari tong oksigen. Urusan penyediaan menu makanan.
Semuanya diuruskan oleh anak-anak pelajarnya yang semuanya sudah berjanggut dan beruban itu. Kebanyakannya daripada bekas-bekas pelajar SPM tahun 1990-an. Subhanallah. Mereka yang tinggal berdekatan turun mencurah bakti dan tenaga. Ke sana ke mari melengkapkan keperluan cikgu yang semakin tidak bermaya itu. Membawa barangan keperluan terus ke rumah cikgu.

Rahmatilah cikgu Aminah


Allahu Akbar. Saya terharu menyaksikan momen yang sangat indah ini. Melihat bakti ikhlas pelajar-pelajar ke atas guru mereka. Semoga hidup kalian dipayungi rahmat Allah atas sebab restu ilmu seorang guru. Anak-anak pelajar cikgu yang berada jauh di luar daerah, negeri dan melangkau perbatasan, juga tidak kurang juga mencurah bakti. Teknologi telah membuka banyak jalan kebaikan.
Lalu, diuruskan semuanya dari jarak jauh. Menghubungi pembekal-pembekal keperluan agar cikgu tidak lagi perlu berhadapan dengan kesulitan menguruskan diri. Cikgu memberi teladan yang baik kepada kami. Hidupnya diinfaqkan sepenuhnya untuk mendidik. Tidak perlu menanti memegang title guru agama, tugasan mendidik itu diabadikan fi sabilillah. Lalu, Allah Taala memuliakan cikgu. Dikurniakan anak-anak pelajar yang luar biasa akhlaknya.
Ya Allah Engkau rahmatilah cikgu Aminah kami ini. Beliaulah guru Bahasa Melayu saya ketika di peringat menengah atas. Maka, pastinya saya akan menukilkan kisah indah cikgu agar menjadi teladan kepada semua yang membacanya. Mawaddah Mohd Nor. Anak murid cikgu. Anak didik cikgu. Selamanya menyayangi cikgu.

Post a comment

0 Comments