9 Situasi Golongan Ibu Hamil Tidak Dinasihatkan Untuk Berpuasa



Kebanyakan ulama berpendapat wanita hamil boleh berpuasa sekiranya kesihatan mereka mengizinkan. Manakala, dari sudut perubatan pula berpuasa secara menyeluruh dibolehkan dan selamat untuk wanita hamil serta bayi. Wanita hamil juga diharuskan berbuka puasa sekiranya berpuasa itu dapat membahayakan kesihatan diri atau kandungan mereka.
Terdapat 9 situasi yang membolehkan wanita hamil untuk tidak berpuasa seperti perkongsian dari Dr Muhammad Izzat di laman Twitter.

Tidak dinasihatkan berpuasa

Menerusi perkongsian dari Dr Izzat di laman Twitter berkongsi beberapa situasi buat golongan ibu hamil tidak dinasihatkan untuk berpuasa jika berada dalam situasi tersebut yang memberi kesan kepada kesihatan.
Terdapat 9 keadaan bagi golongan wanita hamil yang tidak dinasihatkan untuk berpuasa termasuk jika berada pada trimester pertama kehamilan. Dimana anda baru sahaja tiga bulan pertama kehamilan. Anda tidak dinasihatkan berpuasa pada tempoh itu kerana mengalami gejala kehamilan serius seperti muntah, kurang selera makan, kepenatan, pening dan pitam.
Selain itu, sekiranya anda berdepan risiko dengan darah beku di bahagian kaki atau venous thrombosis juga tidak dinasihatkan untuk berpuasa.

Ibu yang tidak sihat

Gambar hiasan
Ibu yang mengalami masalah kesihatan seperti demam, muntah atau cirit-birit juga tidak dinasihatkan untuk berpuasa. Hal ini adalah berkemungkinan besar memberi kesan kepada kandungan bayi di dalam perut. Jangan paksa diri untuk berpuasa dan segera dapatkan nasihat dari doktor pakar.
Wanita hamil yang berpuasa juga perlu mengelakkan diri daripada melakukan kerja berat dan aktiviti lasak, serta berada di tempat panas dalam jangka masa lama bagi mengurangkan kesan dehidrasi.

Bayi tak membesar

Ibu hamil yang mempunyai latarbelakang kesihatan seperti kencing manis atau sakit jantung yang memerlukan metformin dan insulin tidak dinasihatkan untuk berpuasa. Hal ini kerana anda perlu menjaga kawalan pemakanan harian atas nasihat dari doktor.
Selain itu, jika pergerakan janin didapati berkurangan selepas 28 minggu kehamilan atau tidak membesar (IUGR), hendaklah berbuka puasa dan terus ke hospital untuk penilaian CTG dan ultrasound untuk menilai pembesaran janin.
Buat golongan ibu hamil adalah tidak digalakkan makan dalam jumlah yang banyak sewaktu berbuka puasa. Keadaan rahim yang membesar menolak perut ibu dari bawah dan menyebabkan ibu berasa pedih hulu hati dan memuntahkan semula makanan itu.

Tempoh pantang selepas bersalin

Gambar hiasan
Situasi seterusnya membolehkan golongan ibu untuk tidak berpuasa adalah mereka yang menyusukan badan kepada bayi dan bimbang terhadap kesihatan sendiri. Malah, ibu yang tidak menyusukan anak tetapi masih berada dalam tempoh pantang selepas bersalin juga tidak dinasihatkan berpuasa. Faktor ini memberi kesan kepada kesihatan ibu berdepan risiko thrombosis. Dimana khuatir tahap kepekatan darah nifas masih tinggi selepas bersalin sehingga tempoh 6 minggu berpantang.

Berada di luar negara, siang lebih panjang

Terakhir sekali adalah golongan ibu hamil yang berada di luar negara melihatkan kepada faktor waktu siang lebih lama berbanding waktu malam. Hal ini memperlihatkan tempoh berpuasa adalah lebih lama berbanding negara lain.
Bagaimanapun, anda juga dinasihatkan untuk bertanyakan perkara ini terlebih dahulu kepada doktor pakar. Tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan sendiri.
Ibu hamil perlu menitikberatkan kesihatan demi kebaikan diri dan anak dalam kandungan. Dinasihatkan juga untuk lebihkan pemakanan yang berkhasiat dan minum air secukupnya. Elakkan dari pengambilan makanan bergula dan bergaram dengan banyak.

Post a comment

0 Comments