Pelajar PhD Malaysia Ini Bantu Cipta ‘Test Kit’ Kesan COVID-19 Bersama Universiti Oxford



Penularan wabak COVID-19 makin membimbangkan dan bukan sahaja di Malaysia malah di luar negara juga kes meningkat setiap hari.
Tahukah anda bahawa seorang pelajar dari Malaysia merupakan salah seorang pencipta kit ujian COVID-19? Lim Boon Chuan yang merupakan pelajar PhD mengambil jurusan synthetic biology turut membantu pasukan saintis dari Universiti Oxford menghasilkan kit ujian tersebut.
Difahamkan, apabila penularan COVID-19 semakin meningkat di China, Lim bersama-sama dengan profesornya di universiti dan Pusat Penyelidikan Lanjutan Oxford Suzhou (OSCAR) telah membangunkan kit ujian COVID-19 yang dapat menghasilkan keputusan tiga kali lebih cepat daripada kaedah semasa.
Malah, kit ujian yang dihasilkan mereka mampu mengesan wabak tersebut dalam masa 30 minit sahaja. Kit ujian menggunakan suhu tunggal iaitu 65°C dan boleh melangkau langkah pengekstrakan dan tidak memerlukan sokongan kit, peralatan, atau bahan kimia lain untuk menjalankan ujian.
Pada mulanya, kit ujian dihantar ke China untuk menguji kes-kes di sana untuk melihat jika kit ujian berkesan pada sampel klinikal sebenar dan ianya terbukti berkesan. Tambahnya, projek ini dimulakan pada bulan lepas dan beliau berperanan untuk mereka dan menjalankan semua eksperimen.
Pastinya jika kit ujian ini sudah ada di Malaysia saat ini, mereka yang terjangkiti wabak COVID-19 ini dapat dikenalpasti segera dan penularan ini dapat dibendung dengan cepat.
Syabas diucapkan atas usaha Lim Boon Chuan dan para saintis yang lain kerana berjaya menghasilkan kit ujian tersebut. Pastinya ramai rakyat Malaysia bangga dengan pencapaian Lim Boon Chuan.

Post a comment

0 Comments